Dibuang anak, bapa beraya di pusat jagaan

Samirin Ramisan
Samirin Ramisan
A
A
A

SHAH ALAM – “Kalau kita kaya, anak mengaku bapa. Bila miskin, macam-macam alasan mereka bagi".

Demikian luahan Samirin Ramisan, 70, yang sudah tiga tahun menyambut Hari Raya Aidilfitri di Pusat Jagaan Warga Emas Bait Al-Mawaddah tanpa kehadiran ahli keluarga setelah 'dibuang' anak-anaknya.

Warga emas berasal dari Indonesia itu berkata, hubungan dengan anaknya terputus sejak tiga tahun lalu selepas dia tidak mampu lagi bekerja kerana menghidapi penyakit kencing manis kronik.

"Saya merantau ke Malaysia sudah lama iaitu sejak 40 tahun dan pernah bekerja sebagai buruh kontrak di merata tempat demi mencari rezeki. Namun, selepas mengalami masalah kesihatan, saya tidak lagi berdaya dan dibawa ke pusat perlindungan oleh seorang dermawan yang dikenali sebagai ‘datuk'.

"Dulu masa sihat, mereka kerap telefon minta duit pun saya bagi. Masa anak perempuan nak kahwin, saya hantar wang dari Malaysia. Tapi lepas sakit, mereka langsung tak bertanya khabar.

"Bila saya hubungi, mereka tidak jawab panggilan. Sekarang biarlah, kalau telefon pun, mereka tak kan datang saya tak mahu menyusahkan sesiapa," ujarnya.

Walaupun hati pilu setiap kali mendengar takbir raya, Samirin reda menyambut Aidilfitri tanpa kehadiran anak-anak di sisi.

Bapa kepada dua cahaya mata ini juga tidak lagi mengharapkan kepulangan anak-anaknya di Aidilfitri tetapi jauh di sudut hati dia masih menyimpan impian untuk menatap wajah mereka sebelum menutup mata.

“Kalau teringat pasal anak-anak, hati memang sedih. Tapi di sini pun ada ramai orang baik, saya anggap mereka seperti keluarga.

Artikel Berkaitan:

“Kalau anak-anak ingat bapa mereka, saya di sini sahaja. Tapi kalau tak ingat pun, saya reda. Yang penting tak menyusahkan sesiapapun,” katanya

Jamaliah Hasan
Jamaliah Hasan

Sementara itu, berbeza dengan Jamaliah Hasan, 78 apabila beliau sendiri memilih untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumah kebajikan itu bersama rakan senasib.

Beliau yang berasal dari Banting, Selangor kini sudah dua tahun menetap di Pusat Jagaan Warga Emas Bait Al-Mawaddah sejak Ramadan 2023 atas kerelaan hati sendiri.

“Saya anak bongsu daripada 11 adik-beradik, tapi sekarang tinggal saya seorang. Semua adik-beradik dan ibu bapa sudah tiada.

“Anak saudara dan sepupu marah bila saya buat keputusan ini, tapi saya tetap mahu tinggal di sini atas kemahuan sendiri kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa," jelasnya

Biarpun mempunyai ramai anak saudara, Jamaliah berasa lebih selesa tinggal di rumah kebajikan kerana semua keperluan dijaga rapi termasuk kelas pengajian agama yang diadakan secara berkala.

“Di sini saya mudah beribadah, ada kawan-kawan untuk berbual dan suasana raya pun meriah. Ketupat, lemang semua ada, saya gembira di sini.

"Namun tetap merindui suasana berkumpul dengan keluarga besar setiap kali Aidilfitri menjelang. Siapa kata tak sedih, saya rindu semua tapi, saya reda dan pilih untuk kekal di sini,” tambahnya.

Harapannya kini cuma satu agar dikurniakan kesihatan baik dan menjalani kehidupan dengan tenang di samping rakan-rakan.

“Kalau diizinkan ALLAH, saya mahu terus beraya bersama mereka yang senasib kerana sudah terbiasa dan gembira dengan kehidupan di sini,” ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!