Tan Sri perdaya orang ramai kononnya bantu selesaikan kes AMLA ditahan

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri, yang juga pengerusi sebuah syarikat ditahan oleh pihak polis di Jalan U Thant pada Sabtu, dipercayai terlibat dalam aktiviti memperdaya orang ramai dengan mendakwa dapat membantu menyelesaikan kes pengubahan wang haram.
Suspek yang berusia 59 tahun itu dipercayai telah mengambil wang berjumlah RM10 juta daripada mangsa dengan alasan bahawa wang tersebut akan diserahkan kepada pihak polis bagi menyelesaikan kes yang dihadapi mangsa.
Sumber berkata, suspek yang merupakan tokoh berpengalaman dalam perniagaan industri minyak dan gas itu ditahan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman di kediamannya sebaik pulang dari Osaka, Jepun.
"Siasatan awal mendapati suspek sebelum ini telah mengambil wang sekitar RM10 juta daripada mangsa dengan mendakwa kononnya mempunyai kenalan rapat dengan polis serta boleh menyelesaikan kes dihadapi.
"Mangsa mendakwa wang berkenaan akan diserahkan kepada polis untuk membantu mangsa agar tidak dikenakan sebarang tindakan," katanya pada Sabtu.
Menurut sumber, kegiatan suspek kemudiannya dikesan berdasarkan risikan dan siasatan yang dijalankan.
"Suspek akan dipohon perintah reman untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sidang media berkaitan kes itu akan diadakan dalam masa terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

