Kasari peniaga belon, Gulam dakwa DBKL berubah jadi 'serigala'

Gulam.
Gulam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didakwa berubah menjadi 'serigala' apabila tindakan sekumpulan anggota penguat kuasa dipercayai mengasari peniaga tidak berlesen di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) di sini pada Jumaat.

Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar berkata, beliau sedih dengan layanan penguat kuasa itu terhadap peniaga terbabit.

"Mengucap panjang dan sedih melihat satu video viral. Adakah DBKL sudah berubah menjadi 'serigala'? Membaham mangsa tanpa ada belas kasihan, peniaga dan penjaja kecil ibarat kambing biri-biri.

"Mungkin terdapat dalam kakitangan DBKL berasa bangga dan ingin menunjuk kepada Datuk Bandar atau menteri bahawa mereka laksana arahan...menindas si 'kambing biri-biri' yang tidak berdaya lawan dengan kuasa diberikan tetapi digunakan secara songsang.

"Masih terngiang di telinga apabila Perdana Menteri berbicara soal penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan supaya terbela juga nasibnya tetapi sebenarnya indah khabar dari rupa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, tular beberapa rakaman video memaparkan insiden kekecohan selepas berlaku perselisihan antara penguat kuasa DBKL dan penjual barangan tanpa lesen.

Rakaman video yang dipercayai diambil peniaga sekitar lokasi itu mulanya menunjukkan beberapa anggota penguat kuasa DBKL sedang merampas belon yang dijual seorang individu, namun suasana bertukar menjadi kecoh selepas peniaga dipercayai tidak memberi kerjasama.

Mengulas lanjut, Gulam turut mempersoalkan sekiranya tindakan itu merupakan antara sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

"Minggu lepas viral seorang penjaja yang hanya menjual air mineral dan tisu di Dataran Merdeka juga dirampas barangan jualannya. Adakah ini SOP baharu DBKL atau arahan Datuk Bandar atau menteri yang kebetulan kedua-duanya wanita.

Artikel Berkaitan:

"Adakah tiada sebarang perasan sebagai seorang wanita yang ALLAH SWT ciptakan dengan sifat lembut, mempunyai ciri-ciri kasih sayang dan nilai keibuan apabila melihat perkara sebegini berlaku di lapangan.

"Adakah ini cara terbaik untuk menyelesaikan masalah dan bertindak seperti serigala. Mana pertimbangan, tahap empati dan nilai budi bicara yang selama ini ada di dalam jiwa DBKL," ujarnya.

Dalam pada itu, Gulam mendakwa, ada perkara yang lebih 'bahaya' berbanding barang-barang yang dirampas.

"Belon, tisu, air mineral dan air balang, semua ini dianggap 'bahaya' oleh DBKL. Ada perkara 'bahaya' yang tidak perlu saya jelaskan.

"Yang pasti baru-baru ini ada isu yang haram telah menjadi halal. Syabas dan Tahniah diucapkan kerana menjadi serigala jadian," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!