Isu kasari peniaga belon, AMK gesa siasatan tegas terhadap penguat kuasa terlibat

SHAH ALAM - Tindakan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didakwa mengasari peniaga belon di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) malam tadi dianggap perbuatan keji dan tidak boleh diterima.
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pihaknya menggesa agar siasatan tegas segera dijalankan terhadap mereka yang terlibat.
"Sementara menunggu laporan penuh, kami mengecam tindakan tersebut.
"Apa sahaja alasan daripada pihak DBKL tidak boleh sama sekali menghalalkan tindakan keji dan biadab seperti itu," katanya menerusi aplikasi X pada Sabtu.
Sebelum ini, tular satu video yang menyaksikan seorang penjual belon dikasari oleh sekumpulan penguat kuasa DBKL termasuk kakitangan dipercayai berpakaian awam.
Dalam rakaman video tular itu, penjual belon itu dikasari sehingga dia terjatuh dan berguling di atas jalan raya.
Tambah Muhammad Kamil, sepatutnya Ramadan mesti memperteguhkan sikap kemanusiaan dan meningkat tahap keperibadian.
"Apa erti berpuasa dan beramal di bulan Ramadan sekiranya ia gagal memanusiakan kita serta tidak memancarkan sikap ihsan dan belas pada yang tidak berkemampuan," ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

