Asia Tengah dan Jalan Sutera

A
A
A

PADA Oktober 2013, Presiden Xi Jinping semasa lawatan rasmi ke Astana, Kazakhstan telah merasmikan Silk Road Economic Belt atau Lingkaran Ekonomi Jalan Sutera yang merupakan sebahagian daripada projek Belt and Road Initiative (BRI).

Ia jalinan kerjasama ekonomi dan perdagangan yang menghubungkan China dengan Eropah. Harus diberi perhatian bahawa jalinan belt merupakan jalan darat yang merangkumi rantau Asia Tengah menghubungkan China dengan Timur Tengah dan Eropah. China bercita-cita untuk mendirikan infrastruktur seperti lebuh raya, jambatan dan landasan kereta api di sepanjang jalan darat bagi tujuan memingkatkan jalinan dengan negara-negara Asia Tengah, Asia Barat sehingga ke Eropah.

Road pula adalah laluan maritim yang melalui Laut China Selatan, Selat Melaka, Lautan Hindi, Laut Merah hingga ke Laut Mediterranean. Kawasan laluan maritim termasuk Asia Tenggara, Asia Selatan, Afrika Timur dan Asia Barat. Kebanyakan tulisan mengenai BRI di Malaysia tertumpu pada laluan maritim kerana Malaysia terlibat secara langsung. Selain itu, laluan maritim mendapat lebih ramai perhatian kerana melibatkan isu-isu yang sensitif seperti ‘krisis rebutan di Laut China Selatan’.

Asia Tengah merupakan kawasan yang amat penting dari segi geostrategik kerana laluan darat yang menghubungkan Timur dengan Barat. Semenjak dahulu lagi, Asia Tengah menjadi sebahagian laluan perdagangan yang dikenali sebagai ‘Jalan Sutera’ (Silk Road).

Asia Tengah amat penting bagi China semenjak dahulu lagi kerana sebelum kemunculan laluan maritim, Asia Tengah adalah satu-satu rantau yang menjadi penghubung antara China dengan dunia luar melalui Jalan Sutera. Kepentingan China di Asia Tengah terbahagi kepada dua faktor utama. Pertama, keselamatan kerana kestabilan politik Asia Tengah akan menjamin kestabilan dan keselamatan China sama ada pada masa ini mahupun pada masa lampau.

Pada masa ini, keselamatan rantau Asia Tengah masih tetap menjadi kepentingan China. Ini kerana China bimbang ancaman pengganas dan kumpulan pelampau mampu mempengaruhi kumpulan pemisah di wilayah Xinjiang.

Selain itu, China juga amat prihatin pada ancaman bukan tradisional seperti masalah narkotik serta kumpulan jenayah transnasional dari Asia Tengah. Maka China telah mengambil langkah untuk mengadakan kerjasama secara bilateral serta multilateral dengan negara-negara Asia Tengah melalui Shanghai Cooperation Organisation (SCO).

Terbesar

Artikel Berkaitan:

Kedua, kepentingan China di Asia Tengah adalah ekonomi. Asia Tengah merupakan salah satu pengeluar petroleum dan gas asli terbesar di dunia. Dijangkakan pengeluaran petroleum dan gas asli di Asia Tengah adalah antara 17 hingga 33 juta tong sehari dan ini tidak termasuk kawasan yang masih tidak diterokai. China sedar ia akan berhadapan dengan krisis tenaga kerana pengeluaran tenaga domestik tidak mampu menampung permintaan tenaga disebabkan oleh aktiviti perdagangan dan ekonomi China yang kian membangun.

Demi keselamatan tenaga China, paip minyak dan gas asli telah dibina dari negara-negara pengeluar di Asia Tengah seperti Kazakhstan dan Turkmenistan ke China. Di samping tenaga, Asia Tengah juga penting bagi China sebagai salah satu sumber makanan bagi penduduknya yang semakin bertambah.

Lebih-lebih lagi pada masa ini perang perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China sedang berlaku. China boleh mengimport hasil tanaman seperti gandum dan buah sitrus dari negara-negara seperti Uzbekistan dan Kazakhstan sekiranya Amerika Syarikat menyekat jualan ke China.

Selain itu, Asia Tengah juga merupakan rantau yang menjadi penghubung antara China dengan Asia Barat dan Eropah. Semenjak dahulu lagi sehingga kini apabila Presiden Xi Jinping mengumumkan program BRI, jelas Asia Tengah amat penting bagi keselamatan dan ekonomi China.

*Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya