LTAT salur RM500,000 jayakan Kem Santuni Madani

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan pemilihan lima kem tentera yang akan diberi perhatian bagi menangani cabaran yang dihadapi.
Ketua Eksekutifnya, Mohammad Ashraf Mohd Radzi berkata, projek dibawah ‘Kem Santuni Madani’ itu mendapat kerjasama syarikat kumpulan agensi tersebut bagi menjalankan penambahbaikan infrastruktur, inisiatif pemerkasaan kewangan dan program sokongan komuniti lain.

“Tahun lepas kerajaan menyarankan agar semua kementerian, GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) memilih kampung angkat untuk dibantu.
“LTAT mengambil keputusan untuk memilih lima kem Angkatan Tentera (ATM) termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk dijadikan kem angkat dalam usaha menjaga kebajikan pencarum.
“Semua kem ini dipilih oleh Kementerian Pertahanan yang melihat kepada keperluan mendesak,” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Pengumuman Dividen LTAT 2024 pada Khamis.
Terdahulu LTAT mengumumkan kadar dividen tertinggi dalam tempoh tujuh tahun iaitu lima peratus dan bonus dividen 0.25 peratus bagi tahun 2024.
Jumlah agihan itu melibatkan RM514.2 juta, meningkat berbanding RM485.1 juta yang dibayar pada tahun sebelumnya.

Dalam pada itu Mohammad Ashraf memaklumkan, lima kem terlibat adalah Kem Lok Kawi di Sabah, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (Sabah), Kem Kabota (Sabah), Kem Paradise (Sabah) dan Pangkalan Udara Butterworth (Pulau Pinang).
Menurutnya, inisiatif ini menjadi sebahagian daripada komitmen LTAT yang berterusan untuk memperkukuh hubungan dengan pencarum. “Kita bukan mahu mengambil alih peranan kerajaan mengekalkan kem-kem ini tetapi hanya membantu apa yang sesuai.
“Pengurusan kem akan maklum jenis bantuan yang diperlukan, contohnya baiki bumbung masjid atau fasiliti lain, kami akan gerakkan,” jelasnya.
Sementara itu mengulas mengenai prestasi kewangan LTAT, beliau berkata, dividen yang tinggi adalah bukti kekuatan ekonomi domestik yang pelaburan agensi itu 100 peratus berasaskan pasaran tempatan. Selain itu katanya, ia mencerminkan keberkesanan dasar kerajaan yang kukuh dari segi kawal selia dan pembangunan.
“Pencapaian ini juga mengukuhkan lagi kejayaan Rangka Kerja Ekonomi Madani dalam membina pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan.
“Ia turut mencerminkan komitmen LTAT dalam memenuhi mandat kepada pencarum yang majoritinya bumiputera dan sebahagian besar terdiri daripada kumpulan B40.
“Berdasarkan momentum ini, keutamaan kami adalah untuk menyegerakan usaha penstrukturan semula dan mengimbangi semula portfolio, terutama dalam menangani risiko tumpuan berlebihan,” ujarnya.
Sementara itu, Mohammad Ashraf Mohd Radzi memaklumkan, LTAT dan Syarikat Kumpulannya membelanjakan sejumlah RM500,000 keseluruhan bagi menjayakan Kem Santuni Madani dengan setiap kem akan menerima RM100,000.
“Kerja-kerja membaikpulih akan dimulakan secepat mungkin, apabila kem sudah mengenal pasti apa yang dikehendaki, terus boleh mula. “Saya percaya kem-kem terlibat juga sudah bersedia dengan inisiatif yang ingin dilaksanakan melalui program berkenaan,” ujarnya.
LTAT berada pada landasan tepat pacu pertumbuhan 2025 lebih baik
Kesungguhan pengurusan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam menstrukturkan semula aset, perancangan strategik pelaburan dan pengurusan risiko yang baik terbukti membuahkan hasil susulan pengumuman kadar dividen tinggi bagi tahun 2024 berbanding tujuh tahun sebelum ini.

Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, paling mengujakan adalah peningkatan rizab LTAT yang mencecah 160 peratus berbanding sebelum ini meskipun dalam keadaan ekonomi global masih tidak menentu.
Menurutnya, perkembangan tersebut menunjukkan LTAT berada pada landasan yang positif dan tepat untuk terus memacu pertumbuhan yang lebih baik pada tahun 2025 nanti.
“Sudah pasti kadar dividen dan prestasi kewangan LTAT pada tahun ini amat baik dan mampan serta mengembirakan ahlinya di seluruh Malaysia.
“Saya percaya bukan sahaja perubahan strategi pelaburan LTAT mempengaruhi kadar dividen ini, tetapi juga penstrukturan semula LTAT melalui pelbagai program yang baik seperti celik kewangan.
“Pengumuman dividen yang tinggi ini juga jelas selari dengan prestasi keseluruhan ekonomi positif negara yang juga turut mempengaruhi beberapa institusi lain selain LTAT,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau menjelaskan, kadar dividen yang tinggi akan memberi kesan positif dari sudut persepsi, kepercayaan ahli kepada pengurusan LTAT juga semakin meningkat kerana prestasi kewangan tahun demi tahun menunjukkan perubahan yang positif sehinggalah tahun 2024 yang begitu memberangsangkan.
Ia termasuk impak positif terhadap kuasa membeli, simpanan dan kualiti hidup serta kesejahteraan hidup ahli LTAT yang dijangka meningkat dan ceria apatah lagi Hari Raya Aidilfi tri akan tiba beberapa hari lagi.
“Ini akan memberikan aura kewangan positif kepada para ahli LTAT termasuk veteran dan anggota tentera kerana jasa dan pengorbanan mereka sangat tinggi kepada negara.
“Secara tidak langsung ini juga mampu memberikan suntikan moral kepada ahli LTAT bahawa mereka dengan adanya LTAT mampu memberikan rangsangan kewangan tahunan kepada mereka agar mampu menjalani hidup dengan sejahtera walaupun berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.
Bahkan katanya, pasaran kewangan serta sektor-sektor lain dalam ekonomi Malaysia juga tidak terkecuali menerima impak positif apabila lebihan pendapatan membantu meningkatkan permintaan barangan dan perkhidmatan dalam negara bagi pelbagai sektor.
“Selain itu, ia juga membantu sektor perbankan memperoleh peningkatan deposit dan bayaran balik pembiayaan oleh mereka yang mempunyai hutang dengan pihak bank.
“Ini mewujudkan ekosistem ekonomi dan kewangan yang positif dalam negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
