Dari Akhbar Cina: Rangsang ekonomi demi rakyat

A
A
A

DALAM memastikan risiko ekonomi berkaitan penularan wabak Covid-19 ketika ini dapat ditangani dengan berkesan, pengumuman kerajaan untuk menyediakan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion dianggap tepat pada masanya.

Walaupun negara ketika ini sedang menghadapi suasana ketidaktentuan politik, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Interim tetap meneruskan rancangan awal kerajaan itu agar keadaan ekonomi negara dan nasib rakyat jelata perlu diutamakan.

Dalam tulisan lidah pengarang akhbar Nanyang Siang Pau, ia berpendapat pakej rangsangan ekonomi itu mampu mengurangkan kesan ekonomi yang lembab akibat Covid-19, selain menyusun strategi meningkatkan kegiatan sosial ekonomi.

Antara strategi yang dirangka termasuklah memudahkan aliran tunai bagi perniagaan yang terkesan, bantuan kepada individu yang terjejas dan merangsang permintaan dalam industri pelancongan.

Industri pelancongan merupakan sektor yang paling terjejas akibat penularan virus itu kerana ia mempunyai kesan langsung terhadap kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Selain itu, kerajaan turut mengambil berat terhadap golongan berpendapatan rendah dengan mengumumkan kadar caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikurangkan sebanyak empat peratus kepada tujuh peratus daripada 11 peratus sebelum ini.

Bayaran ansuran Bantuan Sara Hidup (BSH) bulan Mei sebanyak RM200 diawalkan kepada bulan Mac 2020. Kerajaan juga akan membayar sebanyak RM100 tambahan kepada setiap penerima BSH dan dikreditkan ke dalam akaun bank pada bulan Mei. Tambahan seterusnya sebanyak RM50 akan disalurkan menerusi e-Tunai.

CabaranNanyang Siang Pau turut bersetuju dengan penekanan Dr Mahahtir bahawa pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi tidak boleh dilaksanakan hanya satu pihak, sebaliknya meminta pihak swasta turut terlibat bagi memastikan pakej itu berjaya.

Artikel Berkaitan:

Kata akhbar itu lagi, sememangnya rakyat juga perlu terus cekal berani dan tekun bagi menghadapi cabaran yang dihadapi sekarang walaupun suasana politik negara ketika ini masih membimbangkan ramai pihak.

Bagi Sin Chew Daily pula, akhbar itu menyambut baik pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi itu bagi membantu rakyat menghadapi kesan akibat Covid-19.

“Pakej ini sebenarnya ditunggu-tunggu oleh sektor perniagaan yang mampu menyalurkan lebih banyak tunai ke dalam pasaran.

“Banyak pihak sebelum ini bimbang pakej rangsangan ekonomi tidak akan diumum seperti dijadualkan akibat digugat kemelut politik negara yang tidak stabil,” tulis akhbar tersebut.

Menurut akhbar itu lagi, kadar caruman minimum KWSP dikurangkan sebanyak empat peratus kepada tujuh peratus daripada 11 peratus akan memberikan peluang kepada golongan pencarum memperoleh lebihan wang di tangan, sekali gus mempergiatkan aktiviti di pasaran.

Akhbar tersebut berpendapat, langkah membenarkan pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik adalah berita baik untuk sektor perhotelan dan agensi pelancongan.

“Lebih menarik lagi, rakyat diberi baucar digital bagi pelancongan dalam negara sehingga RM100 seorang untuk penerbangan domestik, kereta api dan penginapan di hotel berlesen,” kata akhbar tersebut.

Bagaimanapun, ada pakar ekonomi berpandangan pakej berkenaan masih belum sempurna kerana ia kurang memberi kesan merangsang ekonomi secara sepenuhnya.