Tsunami politik Melayu atau terbongkahnya politik Malaysia

Tun Mahathir mencetuskan kejutan apabila meletak jawatan Perdana Menteri pada 25 Februari lalu.
Tun Mahathir mencetuskan kejutan apabila meletak jawatan Perdana Menteri pada 25 Februari lalu.
A
A
A

MESYUARAT Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Petaling Jaya tanggal 23 dan 24 Februari lalu telah menggelombangkan politik tanah air ke tahap tsunami.

Perkembangan politik minggu lalu bagaikan satu letupan gunung berapi. Letusan laharnya melanda, merebak dan lantas menukar landskap politik tanah air. Tun Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketujuh meletak jawatan dan beliau juga meletak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu. Mengejutkan. Bersatu umum keluar Pakatan Harapan (PH).

Kini Bersatu sudah keluar Pakatan Harapan yang lumrah digagasi DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Dengan itu, PH sudah tidak punya kerajaan Pusat lagi. Beberapa kerajaan negeri juga dijangka terbubar.

Tindakan Tun Mahathir itu meresahkan banyak pihak. Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta orang-orang kuat mereka terpinga-pinga dengan tindakan “maestro” politik itu.

Pada 25 Februari, Yang di-Pertuan Agong melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim, setelah baginda menerima peletakan jawatan Dr Mahathir.

Rakyat yang tak pernah melalui fasa kacau seperti ini tertanya-tanya. Sudahlah meletakkan jawatan sebagai PM ketujuh, dilantik pula kembali sebagai PM interim – sesuatu yang tak pernah berlaku sebelum ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng apabila ditanya media mengenai hal itu berkata, “Kerajaan PH berjalan seperti biasa.”

Betulkah? Sudah tentu tak betul kerana apabila Dr Mahathir letak jawatan sebagai PM ketujuh, kerajaan PH dengan sendirinya terbubar kerana semua menterinya dianggap tidak lagi berjawatan (Perkara 43, Perlembagaan Persekutuan). Dr Mahathir sebagai PM tak perlu buat pengumuman bahawa semua anggota Kabinetnya yang secara kolektif bertanggungjawab kepada Parlimen sudah hilang jawatan.

Artikel Berkaitan:

Isu-isu dan tanda tanya ekoran krisis itu cukup kuat dengungnya kepada orang Melayu dan masyarakat bumiputera.

Puas hatikah rakyat tentang pencapaian kerajaan PH yang berusia kurang dua tahun itu? Siapakah yang sebenarnya untung daripada penubuhan kerajaan PH? Apakah yang dilakukan oleh kerajaan-kerajaan negeri terhadap manifesto Pilihan Raya Umum 2018? Kenapakah Dr Mahathir sudah 32 kali diperlekeh dengan soalan: Bilakah hendak letak jawatan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh muncul sebagai Perdana Menteri kelapan?

Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 22 Februari lalu secara ‘tiba-tiba’ memberi ruang lebih luas kepada Dr Mahathir untuk menentukan bila hendak menamatkan khidmat perdananya? Adakah ini satu buaian lena buat sementara atau perangkap samar baharu? Atau seperti diduga secara amnya iaitu membiarkan Dr Mahathir menentukan tarikh bila nak berhenti hanya satu lirik nyanyian pendek yang akan segera dikacau semula dengan hentaman muzik yang lebih kacau?

DisentakSoalan akhir ini membuatkan ramai berpendapat bahawa menentukan tarikh tamat jawatan akan disentak semula lepas sidang kemuncak APEC November 2020. Kenapa para presiden bukan Bersatu tiba-tiba macam “pijak semut tak mati.”

Jawapannya ternyata para ketua DAP, PKR, Amanah dan lain-lain sedar, jika Dr Mahathir diasak dan disudutkan untuk berhenti waima selepas November 2020, beliau tentu akan persetankan konglomerat politik itu dan akan keluar daripada PH dan jika itu berlaku PH akan runtuh. Masalahnya jika Mahathir keluar dengan partinya kini, semua anggota Kabinetnya juga hilang kerja. Kepada DAP dan PKR yang baru syok dan seronok sebagai menteri, mereka akan terasa bahang api menjilat muka masing-masing.

Pasak PH sebenarnya ialah Mahathir, bukan Anwar, bukan Lim Guan Eng dan bukan yang lain-lain. Daripada hakikat ini ternyata bila Mahathir keluar membawa Bersatu (walaupun bilangan kerusi Dewan Rakyatnya cuma 26) Melayu dan bumiputera akan bercantum seperti biduk lalu kiambang bertaut. Cuma isu adakah UMNO, Pas, Parti Warisan Sabah (Warisan), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan lain-lain menyokong secara kolektif parti atau secara individu?

Menurut Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong melantik seseorang anggota Dewan Rakyat sebagai PM jika “...pada hematnya mungkin mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat”. Atas kemungkinan inilah Dr Mahathir dilantik sebagai PM ketujuh hampir dua tahun lalu dan kini sebagai PM Interim.

Kini fakta berikut ternyata, orang Melayu dan bumiputera kurang meyakini DAP dan PKR untuk pembelaan negara bangsa dan masa depan. Daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) hingga ke majlis-majlis daerah seluruh negara, perwakilan bukan bumiputera kian bertambah dan kepentingan bumiputera menjirus hasil tadbir urus yang didapati berat sebelah. Di negeri-negeri yang ditawan DAP-PKR, tanah milik pekan dan bandar sedang ditimbang untuk diberi hak milik kekal, tidak lagi 66 tahun atau 99 tahun.

Ini akan meningkatkan nilai pegangan harta bandar dan perbandaran. Mereka mahu menguatkuasakan pilihan raya perbandaran. Ini akan mengukuhkan kawalan politik di tangan DAP. PKR tidak upaya meredakan ini kerana dasar majmuk mereka yang sudah menjadi sebahagian dasar DAP. Yang masih kekal Bersatu yang bersama membenci kleptokrasi serta rasuah. Bersatu juga cintakan keluhuran undang-undang dan pendirian antirasuah yang berupa batu asas perjuangan bersama PH.

Kini rungutan rakyat semacam tidak diendahkan. Kerajaan PH tampak sebagai entiti lain dan keperluan rakyat yang lain pula. Kementerian Komunikasi dan Multimedia tak kisah dan tidak promosi dasar-dasar ulung kerajaan PH. Banyak juga pencapaian baik yang diperoleh setakat ini namun rakyat kelihatan tidak menyedarinya.

DAP di bandar-bandar akan terus dengan cara mereka. Mereka menjuarakan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) supaya dipersaingkan dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pendirian Dong Zong yang memperlekeh skrip jawi serta warisan bangsa akan berterusan. Politik ekonomi mereka akan menenggelamkan Wawasan 2020 dan segala yang mencemerlangkan perjuangan kebangsaan nasional setakat ini.

Akhirnya, DAP akan dilihat sebagai juara urbanisasi, juara ekonomi dan sosialisme majmuk. Mereka akan meneguhkan institusi politik mereka dan mencicirkan ciri-ciri kebangsaan yang rapat dengan orang Melayu khasnya. Rakyat di kampung dan rancangan Felda yang merengkuk dengan kehidupan defisit kerana ‘tali pura’ ekonomi dipegang dan dikuasai untuk keutamaan lain. Imbuhan cara hidup bandaran akan terus meningkat sementara keselesaan bagi orang Melayu dan bumiputera akan terus minimum.

Sifat pendirian syak wasangka orang Melayu terhadap DAP tidak dapat direlai lagi walaupun akhir-akhir ini ada tanda-tanda mereka lebih toleran terhadap realiti politik Melayu-bumiputera.

Apa yang orang Melayu masih belum sedar ialah mereka merupakan pewaris politik utama negara ini. Dr Mahathir mesti menghabiskan sisa perjuangannya untuk menyatukan Melayu dan bumiputera. Dr Mahathir dan pejuang-pejuang bangsa jangan gentar untuk bersatu membentuk suatu Perikatan Nasional baharu. Rangkullah UMNO kembali, Pas, GPS, PKR, Amanah, Warisan dan komponen politik Melayu-bumiputera.

Pilihan menubuhkan kerajaan hanya melalui keindividuan tidak akan diterima rakyat. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga.

*Tan Sri Dr Rais Yatim ialah tokoh budaya dan bekas menteri Kabinet. Beliau kini Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)