Tak sempat kaut untung jual mercun

Suspek (tengah) ditahan dengan rampasan mercun yang dibawanya.
A
A

PELABUHAN KLANG - Niat seorang lelaki untuk mengaut untung menjual mercun sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina tidak kesampaian selepas dicekup Pasukan Polis Marin (PPM).

Kegiatan lelaki berusia 38 tahun itu terbongkar dalam Ops Pensura Khas di Jeti Feri Pelabuhan Klang, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Khairuddin Jamal berkata, operasi dengan kerjasama anggota Balai Polis Pulau Ketam itu dijalankan kira-kira jam 4 petang hasil maklumat dan risikan.

"Lelaki terbabit yang dilihat dalam keadaan mencurigakan itu telah ditahan untuk pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu yang membawa dua kotak besar mengandungi pelbagai jenis mercun yang ingin dibawa ke Pulau Ketam tanpa sebarang lesen dan dokumen berkaitan," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Khairuddin berkata, dianggarkan mercun tersebut bernilai RM4,000.

Katanya, pihaknya percaya mercun ini akan dijual secara kecil-kecilan oleh suspek di Pulau Ketam.

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957," katanya.