AS tunjuk biadab, tolak memorandum bela nasib rakyat Palestin

Mohd Azmi (tengah) ketika ketika hadir di perhimpunan yang diadakan sempena hari al-quds antarabangsa pada Jumaat.
Mohd Azmi (tengah) ketika ketika hadir di perhimpunan yang diadakan sempena hari al-quds antarabangsa pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kedutaan Amerika Syarikat (AS) menunjukkan kebiadaban apabila mereka menolak untuk menerima memorandum berhubung gesaan agar nasib rakyat Palestin dibela.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tiada seorang pun wakil kedutaan bersedia menerima memorandum tersebut malah pintu pagar kedutaan ditutup.

Menurutnya, mereka hanya memesan kepada pegawai polis yang bertugas agar memorandum berkenaan diletakkan dalam peti surat.

"Ini adalah kebiadaban yang sangat jelas dan tidak hormat negara di mana mereka dibenarkan ada hubungan diplomatik, kita nyatakan bantahan sekeras- kerasnya di atas sikap tersebut.

"Bagaimanapun kita tidak berputus asa dan akan terus memberikan tekanan kepada AS dengan berhimpun menyatakan solidariti kepada penduduk Palestin.

"Kita juga akan menyerahkan memorandum ini kepada ASEAN, Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya sama-sama dapat memberikan tekanan kepada AS," katanya ketika hadir di perhimpunan yang diadakan sempena hari al-quds antarabangsa pada Jumaat.

Perhimpunan itu diadakan dihadapan Menara Tabung Haji sebelum berarak ke kedutaan Amerika Syarikat (AS) bagi menghantar memorandum bantahan terhadap Donald Trump.

Mereka turut membawa keranda, replika bayi dan plakad yang tertulis 'hentikan geonosid', 'bebaskan Palestin'.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamed Sabu dan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Tambah Mohd Azmi, menerusi memorandum itu pihaknya menggesa AS menghentikan bantuan ketenteraan kepada Israel dan mengiktiraf hak mutlak rakyat Palestin.

Beliau turut mengecam tindakan Israel yang berterusan melancarkan serangan ke atas Gaza.

"Tindakan tersebut menunjukkan Israel bukan lagi bertamadun. Tidak mustahil akan ada lagi serangan pada hari esok.

"Ini yang perlu kita tanya adakah AS masih layak berada dalam komuniti antarabangsa atau kita harus berikan mesej mereka dipecat keluar dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!