Fahami batas sensitiviti kaum, implikasi undang-undang sebelum komen - Mohd Na'im

SHAH ALAM - Semua pihak wajib menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan yang dianuti majoriti rakyat di negara ini sepertimana termaktub dalam perlembagaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, pihaknya amat berdukacita dengan insiden penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW yang dilakukan di media sosial baru-baru ini dan kejadian seumpama itu masih berlaku dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, orang ramai sepatutnya memahami batas-batas sensitiviti agama dan implikasi undang-undang dalam membuat sebarang kenyataan atau komen terutamanya di media sosial.
"Perbuatan ini tidak bertanggungjawab dan amat dikesali. Saya ingin menegaskan bahawa semua pihak perlu menghormati kedudukan Islam serta elakkan daripada menimbulkan isu yang boleh mencetuskan sensitiviti agama hingga dikenakan tindakan undang-undang.
"Sehubungan itu, agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus memperkukuh usaha dan program kesedaran masyarakat.
"Ia bagi memastikan orang ramai lebih berwaspada dalam menggunakan media sosial dan sentiasa menjaga adab serta sensitiviti agama. Usaha ini penting bagi memelihara keharmonian dan kesejahteraan antara kaum dan agama di negara kita," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, polis dilapor menahan seorang penjawat awam yang disyaki memuat naik komen menghina Nabi Muhammad SAW di Facebook.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan, tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 35 tahun pada Selasa lalu.
Jelasnya, lelaki itu bersama dua lagi pengguna disyaki memuat naik komen menghina Nabi Muhammad SAW menerusi hantaran berita berkaitan Malaysia mengutuk keras kezaliman terhadap lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang maut dalam serangan udara di Gaza, Palestin pada minggu lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

