'Hampir hilang nyawa ditembak lebih 10 das'

Mohd Ismuil Sahidun
Mohd Ismuil Sahidun
A
A
A

KUANTAN - Peristiwa ditembak komunis ketika menyertai operasi Gubir di Kedah kira-kira 50 tahun lalu masih segar dalam ingatan pesara tentera, Mohd Ismuil Sahidun, 71.

Peristiwa hitam yang berlaku kira-kira jam 10 pagi itu hampir meragut nyawa apabila lebih 10 butir peluru hinggap hampir di seluruh tubuhnya.

Berpantang maut sebelum ajal, walaupun cedera parah, dia terselamat dalam tragedi itu sedangkan enam daripada sembilan rakannya yang turut serta dalam operasi itu terkorban.

Mohd Ismuil berkata, ketika itu usianya dalam lingkungan 20-an dan berkhidmat di Rejimen Peninjau Kem Batu 10 di sini.

"Semasa operasi itu, saya bersama sembilan yang lain dalam satu kenderaan telah diserang hendap pengganas komunis.

Mohd Ismuil menerima cek GHU disampaikan Semaon pada majlis penyerahan ganjaran itu yang diadakan di sebuah hotel di sini pada Khamis.
Mohd Ismuil menerima cek GHU disampaikan Semaon pada majlis penyerahan ganjaran itu yang diadakan di sebuah hotel di sini pada Khamis.

"Waktu itu, peluru datang seperti hujan dan mengenai hampir seluruh tubuh termasuk dua terkena di dada," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Cek Ganjaran Hilang Upaya (GHU) Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini pada Khamis.

Mohd Ismuil yang berasal dari Manjung, Perak dan menetap di Bukit Ubi di sini, antara lapan penerima di Pahang yang menerima GHU antara RM24,000 hingga RM60,000 disampaikan Ketua Pengarah Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki.

Ceritanya, peristiwa hitam itu berlaku setahun selepas dia mula berkhidmat pada 1973.

Artikel Berkaitan:

"Kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi dan hanya diselamatkan kira-kira tiga jam kemudian.

"Akibat kesan tembakan itu, saya hilang upaya kekal terutama kedua-dua tangan dan kaki kanan," katanya.

Dia berkata, keadaan kesihatannya makin terjejas selepas dua kali diserang strok pada tahun 2016 dan 2018 lalu.

"Selepas bersara 1983, saya bergantung hidup dengan wang pencen yang diterima setiap bulan dan wang pencen sakit.

"Tidak sangka, sempena Aidilfitri kali ini saya terpilih menerima ganjaran hilang upaya 'one off' ini dengan agak besar RM30,000.

"Allhamdulillah wang ini akan saya simpan dan gunakan untuk rawatan kesihatan," katanya.

Sementara itu, Semaon berkata, seramai 272 daripada 292 veteran ATM yang layak sudah menerima GHU yang diberikan secara `one off' setakat ini.

Menurutnya, ganjaran dengan peruntukkan RM9.7 juta itu diberikan kepada bekas anggota yang cedera ketika berkhidmat.

"Jumlah diterima penerima berbeza bergantung kepada tahap kecederaan masing-masing," katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan penerima GHU itu, 14 penerima di Pahang dan lapan hadir menerimanya pada majlis penyerahan pada Khamis.

Sementara itu, JHEV ATM turut mengadakan Majlis Sumbangan Aidilfitri kepada anak-Anak veteran ATM Tahun 2025 di sini.

Semaon berkata, majlis itu bagi meraikan anak-anak veteran dan bekas tentera yang kelainan upaya (OKU), asnaf dan daif sempena Aidilfitri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!