MSU mahu angkat program #QuranHour ke peringkat global

SHAH ALAM - Management and Science University (MSU) bercadang untuk mengangkat dan mengembangkan program #QuranHour ke peringkat global pada masa akan datang.
Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, sasaran itu melibatkan kampus pesisir MSU di Bangalore (India), Colombo (Sri Lanka) dan Jakarta (Indonesia) serta dengan lebih 365 rakan universiti MSU di luar negara antaranya di Jepun, China, Kazakhstan dan sebagainya.
Menurut beliau, ia bertujuan bagi mempopularkan program #QuranHour sekali gus menghidupkan kembali semangat cintakan al-Quran dalam kalangan umat Islam khususnya golongan pelajar.
"Walaupun MSU lebih dikenali sebagai universiti global namun #QuranHour merupakan sebahagian program utama kami setiap kali bulan Ramadan. Saya percaya ia penting dalam usaha untuk membangunkan ummah berpandukan al-Quran.

"Oleh itu, kita harap program sebegini dapat diperluaskan di setiap platform pendidikan terutamanya universiti swasta.
"Misalnya, kami banyak berkolaborasi dengan pihak luar dalam pembangunan kampus MSU di luar negara. Jadi saya berpendapat tahun depan mungkin kita boleh melakukan #QuranHour secara serentak dengan rakan universiti secara atas talian," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian selepas hadir di MSU #QuranHour 2025 di Islamic and Cultural Centre MSU pada Khamis.
Program yang diadakan dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas ( WUIF) itu mendapat sambutan lebih 1200 peserta yang terdiri daripada kakitangan universiti berkenaan.
Sementara itu, Pentadabur #QuranHour Abdullah Bukhari Abd Rahim memberi penjelasan mengenai Surah al-Saff yang menjadi surah pilihan bagi program berkenaan.
Beliau berkata, Surah al-Saff mengajar semua pihak agar bersatu padu dan menerapkan semangat berkumpulan bagi membentuk kekuatan bersama demi mencapai kejayaan.
"Pendekatan berpasukan adalah lebih berkesan berbanding tindakan secara individu. Kita dapat lihat perbezaan antara pelajar yang bergerak aktif dalam kumpulan dengan bertindak solo.
"Ini bukan sekadar mengenai sasaran individu, tetapi lebih kepada pendekatan berpasukan yang memberi manfaat jangka panjang kepada pelajar," ujarnya.
Dalam pada itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah WUIF, Ahmad Yani Abd Manaf memberitahu, program ini bukan sekadar membaca al-Quran tetapi turut menekankan aspek tadabbur, iaitu memahami dan menghayati maksud ayat-ayat suci.
“Inisiatif ini boleh diperluaskan dengan pelbagai kaedah, terutamanya dalam era digital di mana pelbagai kemudahan sudah berada di hujung jari.
"Dengan kerjasama yang lebih luas, kita percaya dapat memperkasa pemahaman al-Quran supaya dapat mengubah sistem operasi hidup masing-masing kepada sistem operasi yang berasaskan al-Quran serta sunnah," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!