Satu lagi episod duka kehilangan pahlawan negara

Laporan Sinar Harian berkaitan anggota tentera maut akibat hentakan kuat di dada.
Laporan Sinar Harian berkaitan anggota tentera maut akibat hentakan kuat di dada.
A
A
A

KES kematian seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dari Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) di sebuah kem di Miri, Sarawak, Prebet Muhammad Muqriz Aseri adalah satu tragedi yang mengejutkan dan tidak boleh diterima.

Ia menimbulkan persoalan serius mengenai keselamatan serta integriti dalam institusi ketenteraan kita.

Mangsa, berusia 21 tahun, disahkan meninggal dunia di Hospital Miri pada 24 Mac 2025 dipercayai akibat kecederaan dalaman disyaki berpunca daripada hentakan kuat di bahagian dada, menyebabkan kerosakan pada jantung.

Dua anggota tentera, masing-masing berusia 22 dan 24 tahun, telah ditahan dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membunuh.

Siasatan awal menunjukkan terdapat unsur ‘manhandling’ yang dipercayai menjadi punca kematian Allahyarham.

Amat menyedihkan apabila negara terpaksa menghadapi satu lagi kehilangan seorang pahlawan yang menjadi pelapis masa depan.

Jika benar ia berlaku disebabkan penderaan dalam kem, perkembangan ini tentunya mengundang rasa kurang senang masyarakat terhadap institusi ketenteraan.

Budaya penderaan dan keganasan dalam institusi ketenteraan adalah satu pengkhianatan terhadap nilai-nilai asas yang sepatutnya dijunjung tinggi oleh setiap anggota.

Ia bukan sahaja mencemarkan nama baik angkatan tentera, tetapi juga menggugat kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menyerahkan kes tersebut kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut termasuk menubuhkan Lembaga Siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca dan faktor yang menyumbang kepada insiden berkenaan.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan juga menegaskan TDM memandang serius kejadian ini dan akan memastikan siasatan dijalankan secara telus dan adil.

Semoga pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan yang menyeluruh dan telus demi memastikan keadilan ditegakkan.

Ini demi memastikan budaya keganasan dan penderaan dalam institusi ketenteraan tidak dibiarkan berleluasa, kerana ia mencemarkan nama baik angkatan tentera dan menggugat kepercayaan rakyat.

Masyarakat juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

Kita perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka dengan profesionalisme dan integriti.

Semoga keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!