Anggota tentera maut akibat hentakan kuat di dada

KUALA LUMPUR - Kematian seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dari Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) di sebuah kem di Miri, Sarawak pada Isnin berpunca daripada hentakan kuat di bahagian dada.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia memaklumkan bahawa mangsa, Prebet Muhammad Muqriz Aseri, 21, meninggal dunia akibat kerosakan pada jantung susulan hentakan tersebut.
"Siasatan awal mendapati terdapat unsur ‘manhandling’ yang dipercayai menjadi punca kematian Allahyarham.
"Justeru, TDM telah menyerahkan kes ini kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut serta menubuhkan Lembaga Siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca dan faktor yang menyumbang kepada insiden ini," katanya.
Menurut kenyataan itu, jenazah telah dibawa ke Kuala Lumpur dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Islamiah, Kampung Lindungan, Petaling Jaya, Selangor pada jam 11.55 malam, Selasa.
Sementara itu, Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, menegaskan bahawa TDM memandang serius kejadian tersebut.
"TDM memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan adil. Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota yang terlibat dan didapati bersalah dalam insiden ini," katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
"PTD turut berdukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta berharap mereka tabah menghadapi kehilangan ini," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!