Struktur semula Kosan, bela nasib pekerja hilang kerja

KOTA KINABALU – Nasib 230 pekerja yang kehilangan pekerjaan mungkin terbela sekiranya Koperasi Serbaguna Sanya Berhad (Kosan) mengambil peluang untuk menyusun semula strukturnya bagi memastikan kelangsungan operasi, susulan penutupan dua kilangnya di Tuaran dan Papar.
Pengerusinya, Datuk Ellron Alfred Angin berkata, langkah yang wajar perlu diambil bagi menangani situasi yang menimpa pekerja yang terjejas.
"Kami bersimpati dengan keadaan 230 pekerja terbabit, jadi dalam mesyuarat jemaah menteri tadi, kami berbincang bahawa Kosan masih diberi peluang untuk melakukan penstrukturan semula.
"Koperasi ini perlu memperbaiki operasinya dan jika mereka dapat membuktikan keupayaan menampung kontrak seperti sebelum ini, kami mungkin akan mempertimbangkan semula penyambungan kontrak," katanya dalam sidang akhbar di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ellron yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah berkata, penstrukturan semula perlu dilakukan segera kerana kontrak Kosan dengan kerajaan negeri akan tamat hujung tahun ini.
"Kami berharap penstrukturan semula ini dapat dibuat dengan lebih cepat dan mungkin akan mempertimbangkan peluang lagi.
"Namun, buat masa ini berdasarkan perjanjian sedia ada, kontrak mereka akan tamat tahun ini," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kosan bertanggungjawab membekalkan pakaian seragam sekolah kepada 287,777 murid di seluruh Sabah, namun terdapat banyak aduan mengenai kualiti produk yang dibekalkan.
"Bagaimanapun, terdapat banyak aduan yang diterima oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai kasut yang tidak selesa serta pakaian yang tidak sesuai dan panas.
"Malah, banyak aduan juga diterima daripada ibu bapa, dan kami mengambil maklum perkara ini kerana jumlah murid yang terlibat sangat besar, seramai 287,777 orang mengikut data kementerian.
"Jadi, kami perlu meneliti perkara ini dengan serius dan membuat keputusan terbaik bagi memastikan keperluan murid-murid ini terjamin," jelasnya.
Sehubungan itu, Ellron menegaskan bahawa masih ada peluang untuk Kosan membuktikan kemampuannya sebagai penyedia pakaian seragam sekolah.
"Kosan perlu melakukan penstrukturan agar syarikat ini dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan lebih baik.
"Jadi, keputusan akhir bergantung pada perubahan yang dilakukan oleh Kosan," katanya.
Sebelum itu, media melaporkan seramai 230 pekerja kilang perusahaan pakaian Tuaran dan kilang kasut Papar milik Kosan hilang pekerjaan ekoran pemberhentian operasi dua kilang itu berpunca ketiadaan pembeli produk keluaran syarikat sejak hujung tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
