'Jangan kata saya tak tolong KDA FC' - Sanusi

KERAJAAN negeri tidak pernah lepas tangan membantu pasukan Kedah Darul Aman (KDA FC) dan masih melangsaikan hutang terkumpul berjumlah RM30 juta yang ditinggalkan kepimpinan terdahulu.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pelbagai tunggakan dilangsaikan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) selepas mengambil alih kerajaan negeri dengan komitmen bulanan sebanyak RM200,000 masih diteruskan sehingga kini.
Menurutnya, tidak wajar sekiranya ada pihak menuduh kerajaan negeri tidak membantu pasukan Hijau Kuning itu yang berdepan kemelut kewangan, malah perbincangan terbaharu turut melibatkan bantuan kepada kakitangan pasukan.
“Jangan kata saya tak tolong KDA FC, jangan kata kita tak buat apa-apa. Kalau ada pihak sumbang RM200,000 selepas itu kutuk orang yang buat lebih banyak, saya rasa hilang pahala buat kebajikan. Kalau awak buat kebaikan, jangan pertikai kebaikan orang.
“Biarlah dia buat, entah-entah dia buat lebih banyak daripada kita. Kita jaga kebaikan kita supaya tidak hancur. Tuhan kira, kalau awak riak, takbur, hentam orang pula hancurlah kebaikan itu. Tambahan bulan puasa ini, rugi hanya dapat lapar dahaga saja,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian ganjaran kepada atlet dan pegawai sempena temasya Para Asean Games Cambodia 2023, Sukma & Para Sukma XXI Sarawak 2024 dan Olimpik Paris 2024 di sini, pada Rabu.
Presiden KFA itu turut berterima kasih kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melancarkan tabung Aidilfitri bagi membantu pemain bola sepak negeri itu sebanyak RM200,000.
Sumbangan khas RM200,000 itu disampaikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kepada pemain bola sepak Kedah selepas inisiatif itu digerakkan tiga NGO sejak 20 Mac lalu.
“Kerajaan negeri ucapkan terima kasih kepada pihak-pihak yang membuat kebaikan di Kedah.
“Sebenarnya mula-mula kita ambil alih pasukan dulu. Kita tanggung hutang RM16 juta termasuk empat bulan tunggakan gaji. Kemudian sampai lagi tuntutan lain termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan komitmen untuk musim seterusnya. Campur semua lebih RM30 juta,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata, KFA masih menanggung hutang tersebut termasuk tuntutan RM1.9 juta oleh LHDN melibatkan pemain import terdahulu, Liridon Krasniqi.
“KFA turut bantu pasukan KDA FC sebanyak RM2 juta sebelum ini untuk pastikan pasukan itu mendapat lesen kebangsaan supaya mereka terus bertanding dalam Liga Malaysia bagi musim ini.
“Kesemua tunggakan itu sedang dibayar KFA sebanyak RM200,000 sebulan. Duit itu kita cari dana daripada pelbagai pihak yang sudi menyumbang. Itu pun sebelum ini penyumbang kita diganggu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat tanpa tujuan.
“Akhirnya tak ada orang nak sumbang dah. Susahlah kalau main politik sampai tahap itu. Saya tahu itu semua agenda politik. Tangkap orang bagi pakai baju oren lepas itu potretkan besar-besar tanpa ada kes,” jelasnya.
Menurutnya, ini menyebabkan sebahagian besar penyumbang KFA menyepi kerana bimbang disabitkan kesalahan oleh SPRM.
“Selepas itu pasukan bola teruk marah kita. Kena faham benda-benda ini kadang-kadang sengaja dibuat. Bila kita pulun, mereka sabotaj, bila tak buat mereka buat cara ini.
“Saya sudah malas nak main permainan mereka, saya akan buat kerja saya tolong setakat mana boleh,” katanya.
Muhammad Sanusi turut memaklumkan, selain bantuan menerusi KFA, Exco Belia dan Sukan, Radhi Mat Din turut menyumbang secara peribadi sebanyak RM1,500 seorang kepada 11 kakitangan KDA FC sempena Aidilfitri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!