'Kalau boleh undur masa, saya tak buat jenayah'

SEREMBAN - Seorang banduan menyesal tidak dapat melihat anaknya membesar akibat kesalahan samun bersenjata yang dilakukannya 12 tahun lalu.
Jamil (bukan nama sebenar), 32, yang kini menjalani baki hukuman di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Mantin, dijangka dibebaskan pada Oktober tahun ini.
Dia yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan, berkongsi penyesalan mendalam atas kesalahan yang dilakukannya.
"Saya melakukan kesalahan itu pada usia 21 tahun sebelum ditangkap pada umur 23 tahun. Saya lawan kes di mahkamah lebih setahun sebelum disabitkan bersalah pada 2013. Ketika itu, anak saya baru berusia dua bulan. Jika boleh undur masa, saya pasti tidak akan terjebak walaupun dipengaruhi kawan," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau ditemui pada Program Bersahur Yayasan Negeri Sembilan Bersama Orang Diselia (ODS) di PRP Mantin di sini pada Selasa.
Pada majlis itu, Jamil berkongsi hasil pendapatan bekerja di bawah Program Reintegrasi Penghuni Industri (PRPI) sebanyak RM12,000 kepada isterinya.
Hadir sama, Pengarah Yayasan Negeri Sembilan, Datuk Muhammad Nazri Kassim, serta Komisioner Penjara, Hafiz Othman.
Anak Kuala Lipis, Pahang itu berkata, dia bersyukur isteri serta ahli keluarga tidak membuangnya atas kesilapan dilakukan, sebaliknya sentiasa memberikan sokongan untuknya berubah.
"Banyak pengajaran yang saya dapat. Selepas ini kalau nak buat apa-apa kena fikir dulu baik buruknya.
"Perkara yang membabitkan pelanggaran undang-undang ini memang kita tak boleh terlibat kerana akan memberi kesan buruk kepada keluarga terutama isteri, anak-anak, dan mak ayah kita," ujarnya.
Selain itu, katanya, duduk dalam penjara juga banyak membantunya berubah, menjadikan dirinya lebih matang dan kuat untuk menempuhi dugaan hidup selepas pelbagai ujian ketika menjalani hukuman.
Tambah Jamil, peluang bekerja dalam sektor perkilangan membantunya menjana pendapatan, yang sedikit sebanyak membantu keluarga menampung kehidupan.
"Insya-ALLAH, RM12,000 yang saya bagi itu adalah separuh daripada simpanan saya yang telah bekerja selama dua tahun.
"Simpanan kewangan dah banyak, jadi saya beri sebahagian kepada keluarga untuk membantu mereka di luar dan selebihnya boleh digunakan untuk memulakan hidup baru nanti," jelasnya.
Katanya, pengalaman bekerja itu juga dianggap sebagai persediaan sebaik keluar penjara selepas selesai menjalani hukuman.
Sementara itu, Pengarah Penjara Negeri Sembilan, Ahmad Mustaqim Che Bisi berkata, program bersahur yang dikelolakan oleh Jabatan Penjara dengan Yayasan Negeri Sembilan itu merupakan program tahunan sebagai inisiatif mereformasikan ODS kepada persekitaran komuniti serta membimbing mereka meneruskan kehidupan apabila bebas kelak.
Menurutnya, menerusi program itu antara perkara yang diberikan tumpuan ialah potensi pendapatan ODS yang bekerja dalam sektor perkilangan, dengan sebanyak RM27,000 berjaya disumbangkan ODS kepada ahli keluarga pada tahun lalu.
"Pada tahun ini, jumlah itu meningkat, sebanyak RM106,000 berjaya disumbangkan ODS kepada ahli keluarga sebagai persiapan Aidilfitri.
"Selain itu, hampir keseluruhan kapasiti 480 ODS di PRP Mantin berjaya ditempatkan di sektor pekerjaan di Negeri Sembilan," katanya.
Ujarnya, program dilaksanakan itu bagi memaklumkan kepada masyarakat bahawa ODS ini sebenarnya mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
"Ini merupakan sebahagian sumbangan, tidak mengambil kira lagi jumlah pendapatan diperoleh yang dulunya RM1,500 kini meningkat kepada RM1,700.
"Buat masa ini, sebanyak tujuh syarikat telah menggajikan ODS PRP Mantin dan bagi keseluruhan Negeri Sembilan terdapat 78 syarikat terlibat secara langsung memberi peluang kepada 790 orang ODS, ODP (Orang Di Parol), dan OBB (Orang Bebas Berlesen) mengikuti program di dalam komuniti," jelasnya.
Ahmad Mustaqim berkata, pihaknya kini sedang merancang penempatan pekerjaan selepas ODS dibebaskan, yang akan diselaraskan apabila siapnya penempatan disediakan di bawah Yayasan Negeri Sembilan.
"Mengikut perancangan, selepas tamat menjalani hukuman, mereka akan ditempatkan ke penempatan baharu di kawasan Seremban dan terus bekerja di kilang yang ditetapkan.
"Kita harap mereka tidak lagi kembali ke kancah jenayah setelah dibebaskan dan dengan adanya peluang pekerjaan ini boleh memulakan kehidupan baharu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!