Tipu guna RM100, lelaki sama didakwa kelirukan peniaga

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga asing yang sebelum ini tular di media sosial kerana didakwa menipu wang baki di beberapa premis perniagaan, sekali lagi dikesan cuba melakukan perbuatan sama di sebuah kedai tudung di Kota Masai, Pasir Gudang.
Tindakannya yang cuba menipu juruwang dengan membeli sehelai tudung menggunakan wang RM100 berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) serta disiarkan secara langsung menerusi akaun TikTok @Kedai Daddy.
Menurut pemilik premis yang mahu dikenali sebagai Arif, kejadian itu berlaku sekitar jam 8.30 malam pada Isnin lalu ketika premisnya dipenuhi pengunjung.
"Saya tengah buat 'live' di bawah khemah di luar premis. Kemudian datang seorang lelaki yang agak tinggi dan berambut panjang, kelihatan seperti berbangsa Pakistan atau Bangladesh.
"Dia mengambil tudung berharga RM17 di khemah dan bertanya kepada pekerja di mana hendak membuat pembayaran. Dia terus meluru masuk ke dalam premis menuju kaunter tanpa membuka kasut.
"Dia menyerahkan wang tunai RM100, lalu pekerja memulangkan baki RM83. Setelah mengambil wang baki, lelaki itu tiba-tiba mengatakan tidak mahu membeli tudung tersebut," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Seorang pelanggan yang memakai tudung merah jambu kemudian memberitahu pekerja bahawa lelaki di kaunter juruwang itu adalah seorang 'scammer', sekali gus menyelamatkan keadaan.
"Saya terus datang ke kaunter dan bertanya kenapa dia tidak jadi membeli tudung tersebut. Dia bercakap dalam bahasa Inggeris dan berpura-pura tidak faham.
"Saya memberitahu dia bahawa saya akan membuat laporan polis. Saya juga mengarahkannya untuk beredar serta mengambil tudung yang dibeli berserta baki RM83," jelasnya.
Arif berkata, insiden berkenaan merupakan kejadian kedua dirinya hampir ditipu sejak menjalankan perniagaan tudung tiga tahun lalu.
"Tahun lepas, pada bulan Ramadan, sepasang suami isteri yang kelihatan seperti dari negara Arab datang ke kedai kononnya mahu menukar wang. Namun, seorang lelaki penghantar barang yang kebetulan berada di situ menyelamatkan saya dengan memaklumkan mereka adalah 'scammer'.
"Kali ini, pelanggan pula yang menyelamatkan saya daripada menjadi mangsa. Selepas video saya tular di media sosial, ramai yang mengakui pernah menjadi mangsa lelaki warga asing tersebut. Saya akan membuat laporan polis bagi mengelakkan lebih ramai peniaga menjadi mangsa," katanya.
Meninjau ruangan komen di media sosial, ada netizen mendakwa lelaki itu adalah individu yang sama cuba memukau pekerja di sebuah kedai kosmetik dan kini telah sampai ke Pasir Gudang.
Selain itu, sebuah kedai di Kota Masai turut berkongsi modus operandi lelaki terbabit, yang membayar menggunakan wang RM100, kemudian cuba membatalkan pembelian dan meminta semula wang tersebut, sedangkan baki yang diberikan masih dipegangnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!