Padah intip remaja perempuan mandi, lelaki warga asing diberkas

GOMBAK – Seorang lelaki warga asing berusia 35 tahun ditahan selepas disyaki mengintip seorang remaja perempuan yang sedang mandi di sebuah rumah di sini pada Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, kejadian berlaku sekitar jam 2.30 petang dan laporan polis telah dibuat oleh mangsa, seorang remaja perempuan tempatan berusia 19 tahun.
"Mangsa memaklumkan ketika sedang mandi di tandas rumahnya, dia ternampak sebuah telefon bimbit di atas dinding penghadang tandas. Remaja itu mengesyaki bapa tirinya yang merakam gambarnya," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Bertindak atas laporan, pihak polis menahan suspek sekitar jam 3 petang hari yang sama.
"Suspek kini direman selama empat hari bermula Isnin hingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan," jelasnya.
Polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Nik Nor Aqeela Nik Abdullah di talian 019-9260203 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!