Tambah baik Jadual Akta Racun 1952 - Ayob Khan

BANGI - [DIKEMAS KINI] Senarai dalam Jadual Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Racun 1952 perlu dibuat penambahan dengan memasukkan jenis bahan kimia baharu bagi membolehkan pertuduhan di mahkamah.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebelum ini, hanya 110 jenis bahan disenaraikan di bawah Jadual Akta Racun 1952 berbanding Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) yang mempunyai lebih 1,000 jenis dadah.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) telah menjalin satu usaha sama strategik bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dilancarkan secara rasmi pada 21 Oktober 2022.
"Usaha sama ini merupakan langkah pertama yang dilaksanakan di peringkat nasional, malah juga di peringkat antarabangsa.
"Fokus utama inisiatif ini ialah menjalankan penyelidikan saintifik berhubung bahan-bahan terlarang, termasuk dadah psikoaktif baharu atau New Psychoactive Substances (NPS) serta usaha penghasilan dadah secara haram di dalam negara.
"Dua mesin Tims-Tof dan Dart TQ yang dimiliki polis, masing-masing berharga RM3.9 juta dan RM2 juta, membantu meningkatkan kecekapan dalam mengenal pasti serta menganalisis ancaman dadah dengan pendekatan saintifik," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Kerjasama Strategik untuk Aktiviti Pendidikan dan Penyelidikan dalam Bidang Sains Forensik antara PDRM dan UKM di sini, pada Rabu.
Kata Ayob Khan, perkara ini dapat membantu polis mengenal pasti bahan kimia yang ada.
Menurutnya, jika terdapat bahan baharu yang belum disenaraikan dalam akta, ia akan menghadapi kesukaran dari segi aspek perundangan.
"Sebab itu, pindaan tambahan dalam senarai Jadual Akta Racun 1952 perlu dibuat... Insya-Allah, tambahan senarai bahan kimia ke dalam akta tidak akan mengambil masa yang lama," ujarnya.
Dalam pada itu, Ayob Khan berkata sejak Januari 2024 hingga Februari lalu, sebanyak 115 tan dadah bernilai RM1.7 bilion telah dirampas.
"Polis telah menangkap lebih 300,000 individu membabitkan penagih, pengedar dan tokan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
