BNM kemas kini senarai amaran pengguna kewangan, tambah 12 entiti baharu

KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) menambah 12 entiti baharu dalam Senarai Amaran Pengguna Kewangan (FCA).
Senarai itu memberi amaran kepada orang ramai mengenai syarikat dan laman web yang tidak dibenarkan atau tidak diluluskan di bawah undang-undang serta peraturan berkaitan yang ditadbirkan oleh bank pusat itu.
Dalam perkongsian di X (sebelum ini Twitter), BNM berkata, senarai terbaharu itu adalah Versa Investment (tidak berkaitan dengan Versa Asia Sdn Bhd), Master Binary, Master Binary Trade, Master Binary Options, Binary Options, Binary Options FX, Sejahtera Invest, Sahabat Invest, Tengku Forex, Global Asia FX, Bold Prime dan Fokiyoks.
"Sila maklum bahawa maklumat terkini berkenaan dengan Invest KL Malaysia (tidak berkaitan dengan InvestKL), HSBC Bank Investment (tidak berkaitan dengan HSBC Bank Malaysia Bhd) dan Headway juga telah dikemas kini dalam senarai FCA tersebut,” katanya.
Menurut BNM, senarai itu tidak lengkap dan akan dikemas kini secara berkala.
Dalam laman webnya, BNM berkata, senarai FCA dikemas kini berdasarkan maklumat yang diterima daripada orang ramai selepas mengadakan penilaian yang diperlukan ke atas entiti dan skim yang dilaporkan.
"Pengguna boleh merujuk senarai FCA sebagai salah satu daripada pelbagai cara untuk menyemak sama ada entiti atau skim sudah dikenal pasti sebagai entiti yang diberi kuasa oleh BNM untuk menawarkan produk atau perkhidmatan kewangan yang dikawal selia oleh BNM,” katanya.
BNM berkata, ketiadaan dan penyingkiran seterusnya mana-mana entiti atau skim daripada senarai tersebut tidak boleh ditafsirkan sebagai pengesahan bahawa ia telah dilesenkan atau dikawal selia oleh bank pusat itu.
"Seperti mana-mana pelaburan kewangan, pengguna dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati apabila melabur dalam mana-mana entiti atau sistem kewangan,” kata BNM
Senarai FCA terbaharu boleh diperoleh di bnm.gov.my/fca. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!