Akta Kredit Pengguna: BNPL tidak lagi bebas, pengguna perlu lulus tapisan kredit

Abu Hassan ketika sesi sidang akhbar di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM) pada Jumaat.
Abu Hassan ketika sesi sidang akhbar di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM) pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengguna tidak lagi boleh berbelanja sesuka hati menerusi perkhidmatan Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) selepas Akta Kredit Pengguna 2025 dijangka akan dikuat kuasakan pada akhir tahun ini.

Ketua Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB), Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, usaha itu bertujuan menggelakkan pengguna daripada membuat pinjaman melebihi kemampuan sehingga terjerat dalam hutang tidak terkawal.

“Semua pengendali atau syarikat BNPL diwajibkan berkongsi maklumat kredit pengguna dengan agensi pelaporan bagi tujuan penilaian kelayakan sebelum sebarang transaksi dilakukan.

“Ini untuk memastikan pengguna hanya boleh berbelanja mengikut kemampuan kewangan mereka,” katanya ketika sesi sidang akhbar di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM) di sini pada Jumaat.

Beliau menambah, Rang Undang-Undang Kredit Pengguna 2025 (RUUKP) dibentangkan pada tahun ini juga akan turut menyaksikan penubuhan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) bagi memantau dan menguatkuasakan peraturan terhadap syarikat kredit yang sebelumnya tidak dikawal selia.

Katanya, SKP akan mengawal selia pemberi kredit serta perkhidmatan kredit yang tidak dikawal oleh mana-mana pihak berkuasa sebelum ini seperti BNPL, syarikat pemfaktoran, syarikat pajakan, syarikat pemerolehan pinjaman atau pembiayaan terjejas, agensi pengutipan hutang dan agensi kaunseling dan pengurusan hutang.

“Pendekatan ini akan dilaksanakan secara berfasa di mana pada fasa satu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) akan menambah baik beberapa peruntukan Akta Sewa Beli 1967 agar lebih adil kepada pengguna.

“Perkara ini akan memberi manfaat secara keseluruhannya kepada inisiatif di bawah RUUKP fasa satu.

“Bagi fasa dua, fungsi kawal selia aktiviti kredit penggua di bawah KPDN dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan dipindahkan kepada SKP,” katanya lagi.

Industri BNPL mencatat lonjakan ketara dengan lebih 5.1 juta akaun aktif pada akhir 2024, manakala jumlah transaksi meningkat kepada 149 juta dengan nilai keseluruhan RM12 bilion.

Bagaimanapun, peningkatan ini turut menyumbang kepada kenaikan kes hutang tertunggak serta caj tersembunyi yang membebankan pengguna.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!