World #QuranHour di Masjid Muhammadiah Tasek tarik kehadiran paling ramai

IPOH – Lebih 1,200 peserta terdiri daripada masyarakat setempat dan pelajar menyertai program World #QuranHour 1446H yang berlangsung di Masjid Muhammadiah Tasek, atau lebih dikenali sebagai Masjid Cina, di sini pada Selasa.
Pengerusi Masjid Muhammadiah, Datuk Dr Fazli Cheah Abdullah berkata, program tahunan itu terus menarik minat komuniti untuk mendalami al-Quran dan menghayati makna ayat-ayat dalam Surah al-Saff.
Menurutnya, sesi tadabbur surah ke-61 yang dipimpin oleh Pengurus Pendidikan Semat Q, Mohd Shafiq Abu Hasan memberikan mesej jelas mengenai kepentingan kesatuan dalam kalangan umat Islam berlandaskan al-Quran.

“Sebelum ini, World #QuranHour dianjurkan secara kecil-kecilan, tetapi dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANP), program kali ini mencatat kehadiran peserta paling ramai.
“Menerusi Surah Al-Saff, kita diajak untuk belajar, membaca, dan memahami al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan, sekali gus memperoleh keredaan ALLAH SWT,” katanya ketika ditemui pemberita.
Beliau menambah, pemilihan surah tersebut melambangkan semangat dan disiplin tinggi yang dituntut oleh Allah SWT.
Turut hadir, Isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubin; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri, Khairudin Abu Hanipah; serta Pengarah PPANP, Rafidah Abdul Aziz.
Sebagai penutup program, PPANP turut mengedarkan hampir 1,000 bekas bubur lambuk kepada peserta yang hadir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
