Kerjaya polis semakin mencabar

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melalui pelbagai evolusi, bukan sahaja dari aspek kerjaya, imej dan tugasan malah berjaya mengharungi cabaran keselamatan negara dengan cemerlang.
Sempena Hari Polis ke-218 hari ini, pasukan Sang Saka Biru kini mempunyai lebih 137,000 pegawai kanan polis, pegawai rendah polis dan pegawai awam.
Malah ia turut menjadi pilihan kerjaya bagi sesetengah keluarga dari satu generasi ke satu generasi.
Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, membina kerjaya dalam PDRM bukan lagi sekadar pilihan terakhir tetapi telah menjadi salah satu laluan profesional yang semakin kompetitif dan dihormati dalam masyarakat Malaysia.
Beliau yang juga Pengasas Yayasan Prihatin Bekas 69 Komando (YPB69K) berkata, ia susulan tindakan perubahan struktur organisasi, peningkatan gaji dan faedah, selain peluang pembangunan profesional yang lebih baik kepada pegawai dan anggota untuk meningkatkan karier dalam pasukan.
“Semua ini adalah hasil daripada PDRM yang berjaya menawarkan kerjaya stabil dan berprestij kepada anak-anak muda.
“Saya yakin bahawa persepsi negatif masyarakat terhadap kerjaya sebagai anggota atau pegawai polis harus terus diperbaiki dan disokong bagi memastikan negara sentiasa memiliki pasukan keselamatan yang berkualiti dan berintegriti tinggi,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri serta kepimpinan PDRM agar dapat menggerakkan usaha membina sebuah hospital PDRM dan pusat dialisis bagi menghargai jasa anggota, isteri dan anak-anak pasukan itu yang telah berkorban jiwa raga sejak 218 tahun yang lalu.
Menurutnya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berusia 92 tahun telah mempunyai lima buah hospital ATM.
Jelasnya, dengan terbinanya hospital dan penambahan pusat dialisis PDRM pada suatu masa nanti, ia akan membawa satu anjakan paradigma yang positif dalam kalangan masyarakat untuk memilih kerjaya sebagai seorang pegawai atau anggota polis.
Perubahan corak latihan
Sementara itu, penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berkata, kerjaya polis kini semakin mencabar khususnya membabitkan trend bukan konvensional seperti jenayah siber.
Justeru, katanya, PDRM harus sentiasa bersiap sedia dengan kepakaran dan ketangkasan pegawai serta anggotanya.
Beliau berkata, corak latihan yang dijalankan sejak dari tahun 1960-an hingga 1990-an pastinya sudah tidak sama dengan apa yang dilakukan pada masa ini kerana ia berubah mengikut keperluan semasa.
“Meskipun begitu, asas latihan disiplin polis masih terus kekal dan Pusat Latihan Polis (Pulapol) bertindak melatih pegawai pangkat rendah polis dan pegawai kanan dengan ilmu asas kepolisan seperti undang-undang, kawad, persenjataan serta tatacara asas operasi.
“Satu lagi institusi latihan PDRM yang penting ialah Maktab Pegawai Kanan Polis di Cheras yang melaksanakan pelbagai latihan lanjutan kepada pegawai-pegawai kanan,” katanya kepada Sinar Harian.
Zaki berkata, anggota polis berhadapan cabaran tersendiri mengikut masa dan era masing-masing, bermula sejak era kepolisan moden selepas Perang Dunia Kedua hingga ancaman komunis (insurgensi).
Selain jenayah, menurutnya, PDRM juga berdepan cabaran berkaitan isu integriti dan sikap segelintir pegawai serta anggota yang tidak mematuhi undang-undang malah gelap mata ketika menjalankan tugas.
Ini kerana tegas beliau, peluang untuk melakukan salah guna kuasa adalah terbuka dan integriti bukan isu baharu.
“Cuma PDRM lebih menjadi perhatian kerana mereka merupakan sebuah pasukan keselamatan yang sentiasa bersama dengan masyarakat.
“Kalau bercakap soal rasuah dan integriti, pasukan yang paling banyak melakukan rasuah dengan nilai besar bukan PDRM, cuma polis ini masyarakat nampak depan mata,” ujarnya.
Menurut beliau, pihak kepimpinan PDRM sentiasa memperkemaskan pegawai dan anggota mereka melalui program pemantapan dari sudut intelektual dan imej termasuk cara berkomunikasi dengan masyarakat.
Tidak cukup dengan itu, tambahnya, PDRM mengambil langkah penggunaan kamera badan sebagai usaha meningkatkan integriti setiap anggota bertugas di lapangan.
Katanya, kecanggihan teknologi dan era digital ketika ini telah menjadi satu alat kepada mana-mana agensi dan PDRM juga tidak terkecuali dalam perkara tersebut.
“Bagaimanapun kita dapat melihat warga polis 'Gen Z' sebagai generasi yang lahir dalam era digital dan pengguna digital lebih mesra teknologi terkini, berbanding generasi sebelumnya.
“PDRM juga sentiasa menyediakan latihan khusus untuk mempersiapkan pegawai dan anggota dalam mengharungi aktiviti jenayah era baharu khususnya membabitkan digital dan media sosial,” ujarnya.
Beliau berkata, PDRM bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi memantap dan menyelaraskan tindakan dari aspek siasatan serta pendakwaan berhubung jenayah dalam talian.
INFO
Polis Diraja Malaysia (PDRM)
Tarikh dibentuk: 25 Mac 1807, 218 tahun lalu
Gelaran: Sang Saka Biru
Ketua Polis Negara: Tan Sri Razarudin Husain
Ibu Pejabat: Bukit Aman, Kuala Lumpur
Jumlah anggota dan pegawai: 137,000
Moto: Tegas, Adil dan Berhemah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
