Inisiatif Rebat Rahmah khas buat anggota PDRM

PUTRAJAYA – Kerajaan mengumumkan pemberian Insentif Rebat Rahmah secara sekali bayar kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk anggota beruniform dan kakitangan awam yang berkhidmat dengan pasukan keselamatan itu.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, Kementerian Komunikasi memaklumkan bahawa inisiatif ini diperkenalkan sempena Sambutan Hari Polis ke-218 sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan dan komitmen PDRM dalam memastikan keselamatan negara.
Bagi anggota PDRM yang melanggan pelan pascabayar, mereka akan menerima rebat dalam bentuk tanggungan pembayaran bil selama satu bulan, yang akan diberikan pada bulan April, Mei, atau Jun, bergantung kepada tarikh kitaran bil penerima.
Sementara itu, anggota PDRM yang menggunakan perkhidmatan prabayar pula akan menerima tambahan nilai minimum RM30 secara sekali bayar dan kaedah pemberian rebat berbeza mengikut syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
"Pemberian Insentif Rebat Rahmah ini disokong oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications, Tune Talk, redONE dan XOX Com yang memberi manfaat kepada lebih 127,000 orang anggota PDRM," katanya.
Tambah Kementerian Komunikasi, maklumat lanjut mengenai insentif ini akan diumumkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

