Bersih nafi terima dana USAID

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menafikan dakwaan pertubuhan itu pernah menerima dana daripada Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) yang sepertimana tersebar di media sosial.
Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) ada memberi sumbangan ketika Covid-19 melanda negara namun ia adalah dalam bentuk pek makanan dan bukannya wang ringgit.
Menurutnya, Bersih tidak mengambil kos untuk sumber manusia dan lain-lain kos.
"Ketika Covid-19, Bersih menggerakkan inisiatif 'Makan Kongsi' dan kami bekerjasama dengan lebih 50 pihak untuk mengagihkan barang-barang keperluan.
"Dalam masa sama, kami juga dapat tajaan daripada lebih 1800 pihak penyumbang. Antara yang turut menyumbang dalam bentuk pek makanan adalah USAID.
"Bersih merupakan salah satu badan bukan kerajaan (NGO) yang turut sama membantu edarkan kotak bantuan kepada 830 pek makanan dan barang keperluan asas yang membantu 4,150 orang yang terjejas," ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada Januari lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan membekukan sementara dana USAID sementara menunggu semakan dalaman, sekali gus memberi kesan kepada pelbagai inisiatif di seluruh dunia termasuk kira-kira 40 NGO di Malaysia.
USAID merupakan antara agensi bantuan terbesar di dunia, menggaji kira-kira 10,000 orang dengan dua pertiga daripadanya berkhidmat di luar AS.
Dana USAID sering ditonjolkan yang didakwa untuk membantu membangunkan demokrasi dan memperkukuh masyarakat sivil di seluruh dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

