Ikram tolak tohmahan terima dana USAID

SHAH ALAM - Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menolak tohmahan dan fitnah yang tersebar di media sosial bahawa pertubuhan itu pernah menerima dana daripada Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID).
Presidennya, Badlishah Sham Baharin berkata, dakwaan tersebut tidak benar dan bertujuan untuk mencemarkan nama baik Ikram serta menggugat kepercayaan masyarakat terhadap pertubuhan itu.
Menurutnya, Ikram tidak pernah menerima sebarang bantuan atau dana daripada USAID, sebaliknya hanya pernah terlibat membantu mengedarkan 400 pek makanan sumbangan USAID semasa pandemik Covid-19 pada April 2020 di bawah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Bantuan makanan ini disalurkan kepada anggota masyarakat yang memerlukan akibat bencana pandemik dan bukan untuk Ikram atau ahlinya.
“Tambahan pula, penglibatan Ikram pada masa itu adalah semata-mata atas dasar kemanusiaan dan tanggungjawab sosial untuk membantu golongan yang terkesan dalam situasi genting.
“Penglibatan Ikram adalah sukarela dan tidak melibatkan sebarang bentuk kerjasama berterusan atau pertukaran dana,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Badlishah, segala aktiviti yang dijalankan oleh pertubuhan itu sentiasa berlandaskan prinsip kebajikan, kejujuran dan ketelusan.
Justeru, menyeru kepada semua pihak agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang berita palsu atau fitnah yang disebarkan tanpa usul periksa.
“Ikram tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang cuba menimbulkan fitnah pada bulan Ramadan yang mulia ini,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


