'Yayasan Amal Malaysia terima dana USAID, fitnah jahat'

SHAH ALAM - Yayasan Amal Malaysia (YAM) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak menyebarkan maklumat palsu kononnya organisasi kebajikan itu menerima dana asing.
Ketua Setiausahanya, Mohd Razali Moksim berkata, yayasan berkenaan beroperasi secara bebas dengan berlandaskan prinsip ketelusan, integriti dan kebertanggungjawaban dalam setiap inisiatif kemanusiaan dijalankan.
"Segala dana digunakan YAM diperoleh melalui sumbangan orang ramai, derma daripada individu, institusi tempatan serta usaha pengumpulan dana yang sah di sisi undang-undang.
"Dakwaan bahawa kami menerima dana daripada United States Agency for International Development (USAID) adalah satu fitnah jahat yang bertujuan mencemarkan reputasi organisasi kami serta mengelirukan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, pihaknya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berniat jahat dan tidak berasas kononnya menerima dana atau sebarang bentuk bantuan kewangan daripada mana-mana dana antarabangsa.
Tambah Mohd Razali, pihaknya memandang serius tuduhan ini dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat palsu ini.
"Orang ramai diseru agar tidak mudah terpedaya dengan khabar angin dan fitnah yang tidak berasas," katanya.
Menurutnya lagi, pihak berkuasa turut digesa mengambil tindakan tegas terhadap penyebar berita palsu yang boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap usaha kebajikan dijalankan YAM selama ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!