Beraya jangan sampai terjerut hutang

Setiap tahun, menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, masyarakat Malaysia khususnya Melayu cenderung untuk berbelanja besar. Gambar hiasan
Setiap tahun, menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, masyarakat Malaysia khususnya Melayu cenderung untuk berbelanja besar. Gambar hiasan
A
A
A

SETIAP tahun, menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, masyarakat Malaysia khususnya Melayu cenderung untuk berbelanja besar.

Membeli pakaian baharu, mengganti perabot atau langsir dan pelbagai barangan lain antara yang dilakukan supaya suasana perayaan setahun sekali nampak lebih meriah.

Namun, sama ada disedari atau tidak, trend tersebut membawa kepada peningkatan hutang isi rumah apabila sebahagian individu sanggup membuat pinjaman untuk menampung perbelanjaan tersebut.

Walaupun aset kewangan isi rumah mencatatkan RM3.4 trilion (178.2 peratus daripada KDNK), jumlah hutang yang tinggi ini menunjukkan kecenderungan masyarakat untuk berhutang terutama semasa musim perayaan.

Pakar kewangan sebelum ini turut menasihatkan masyarakat untuk merancang kewangan dengan teliti menjelang perayaan. Pembelian pakaian baharu atau barangan lain sepatutnya disesuaikan dengan kemampuan kewangan individu.

Paling penting, elakkan berhutang semata-mata untuk memenuhi kehendak atau mengikuti trend semasa.

Selain itu, penggunaan perkhidmatan beli dahulu, bayar kemudian yang semakin popular juga perlu diurus dengan bijak. Walaupun ia memudahkan pembelian, tanpa perancangan baik boleh menjerat individu ke dalam beban hutang yang tidak terkawal.

Untuk mengelakkan bebanan hutang selepas perayaan, sepatutnya setiap individu mempunyai persediaan bajet perbelanjaan. Tetapkan jumlah maksimum yang boleh dibelanjakan untuk persiapan Aidilfitri dan patuhi bajet tersebut.

Selain itu, perlu fokus kepada keperluan asas dan elakkan pembelian impulsif yang tidak dirancang.

Perbelanjaan menggunakan kad kredit perlu dielakkan bagi memastikan tidak berlaku perbelanjaan berlebihan dan hutang yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, amalan berbelanja secara sederhana dan fokus kepada makna sebenar perayaan iaitu kebersamaan dan kesyukuran juga boleh mengelakkan perbelanjaan di luar kawalan.

Dengan perancangan kewangan yang bijak dan sikap berhemat, masyarakat dapat menikmati sambutan Aidilfitri tanpa dibebani hutang yang berpanjangan.

Ini bukan sahaja memastikan kestabilan kewangan individu, tetapi juga kesejahteraan ekonomi negara secara keseluruhan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!