Dulu lawan komunis, kini buru penjenayah digital

Mohamad (kiri) ketika masih bertugas dalam pasukan Sang Saka Biru.
Mohamad (kiri) ketika masih bertugas dalam pasukan Sang Saka Biru.
A
A
A

SHAH ALAM - Menyaksikan keazaman bapa yang menentang ancaman komunis ketika era kekejaman sebelum negara mencapai kemerdekaan menjadi sumber inspirasi buatnya untuk meneruskan legasi dalam PDRM.

Pesara, Mohamad Sidek, 69, berkata, kekentalan bapanya, Allahyarham Sidek Mohamed Amin melawan gerakan komunis ketika tempoh darurat sehingga sanggup bertaruh nyawa menyebabkan beliau menanam hasrat untuk mengikut jejak langkah bagi melindungi negara.

Menurutnya, tidak dapat dinafikan bahawa pasukan Sang Saka Biru itu sentiasa berdepan dengan risiko keselamatan diri terutama apabila berada di barisan hadapan demi menjaga ketenteraman dan keselamatan negara.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia tidak menjadi penghalang buat dirinya untuk terus menabur bakti selama 36 tahun dalam PDRM.

Foto Mohamad ketika baharu menyertai pasukan PDRM.
Foto Mohamad ketika baharu menyertai pasukan PDRM.

“Arwah ayah pernah berkhidmat dalam PDRM ketika tempoh darurat iaitu dari 1945 hingga 1948 yang mana pada zaman tersebut, ayah berjuang habis-habisan menentang komunis yang mengganas.

“Setiap kali ayah keluar melakukan operasi, kami tidak tahu bila pula ayah akan pulang dan sama ada masih hidup atau tidak kerana waktu tersebut komunis mengganas yang memerlukan ayah berkhidmat menyebabkan kami sentiasa ternanti-nanti ayah pulang,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengimbau kenangan semasa bertugas, Mohamad berkata, pengalaman paling ngeri yang dialami apabila beliau bersama anggota terserempak dengan sekumpulan komunis ketika melaksanakan operasi di salah sebuah hutan di Pahang.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun sudah merdeka tetapi ketika itu negara masih ada komunis yang mana saya tidak boleh lupakan apabila saya bersama beberapa lagi rakan sedang membuat rondaan di kawasan tersebut yang mana kami tahu memang banyak komunis.

“Ditakdirkan, kami terserempak dengan mereka dan hanya mampu melawan serta bertawakal. Walaupun kami sudah biasa masuk hutan tetapi pengalaman ini cukup buat kami berdebar tetapi nasib kami baik, tiada yang cedera parah,” ujarnya.

Menurut Mohamad, anggota PDRM sentiasa berdepan dengan isu keselamatan berikutan kumpulan itu merupakan barisan hadapan yang akan memperjuang dan melindungi masyarakat awam.

Tambah bapa kepada lapan anak itu, anggota PDRM pada masa kini dipercayai menghadapi cabaran untuk menangani jenayah siber dan jenayah kolar putih yang dilakukan secara terancang tanpa menggunakan kekerasan termasuk menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata, peredaran zaman memerlukan anggota PDRM menyiapkan diri dari segi pengetahuan, kepakaran dan kebijaksanaan terutama dalam teknologi maklumat (IT) untuk menyelesaikan sesuatu jenayah.

Mohamad (kanan) bersama isterinya, Norizan Yahya.
Mohamad (kanan) bersama isterinya, Norizan Yahya.

“Kalau dahulu, anggota polis menghadapi cabaran untuk melawan komunis tetapi seiring peredaran zaman dengan pertambahan teknologi canggih menyebabkan jenayah juga menjadi lebih kompleks iaitu ke arah digital.

“Maka, anggota PDRM perlu lebih tangkas dan persiapkan diri dengan pelbagai ilmu serta pengetahuan untuk menangani jenayah yang juga berkembang semakin moden,” ulasnya.

Dalam pada itu, beliau turut berbangga apabila anak ketiganya, Koperal Detektif Muhd Eyzal Ikram Mohamad, 42, menjejak langkah meneruskan legasi mereka dan secara tidak langsung menjadi generasi ketiga sebagai anggota PDRM dalam keluarga berkenaan.

Menurutnya, Muhd Eyzal Ikram itu kini bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di IPD Tumpat, Kelantan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!