PDRM siasat video promosi fahaman komunis

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung penularan sebuah klip video berdurasi dua minit 57 saat yang mempromosikan fahaman dan amalan komunis di Malaysia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, video berkenaan yang menggunakan suara latar dalam bahasa asing mendakwa kewujudan sebuah pertubuhan tidak berdaftar yang mempunyai kecenderungan mempromosikan fahaman itu.
"Kita memandang serius dakwaan ini kerana sebarang usaha menghidupkan semula fahaman komunis, secara halus mahupun terbuka, adalah bertentangan dengan prinsip Rukun Negara serta boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Razarudin berkata, Malaysia secara tegas telah menolak ideologi komunis sejak tahun 1948 dan sebarang bentuk promosi terhadap fahaman itu boleh diklasifikasikan sebagai satu ancaman kepada ketenteraman awam serta perpaduan nasional.
"Susulan itu, siasatan terperinci sedang dijalankan mengikut Seksyen 41/43 Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.
Razarudin berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh sedang dilakukan terhadap pertubuhan itu serta dakwaan berkaitan aktiviti tidak berdaftar, penggunaan simbol-simbol komunis, dan unsur subversif.
"Sebarang cubaan untuk menggugat kedaulatan negara atau menyemai fahaman yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan akan ditangani dengan tegas mengikut lunas undang-undang," tegasnya.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan, video atau gerakan yang boleh mencetuskan kegusaran awam serta mengganggu keharmonian antara kaum.
"Orang ramai diminta untuk menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan terus kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi dan tidak menyebarkan kandungan yang belum disahkan kerana ia boleh mengundang salah faham serta mengeruhkan keadaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!