Curi kabel naik mendadak, laluan Komuter Utara rugi RM1.35 Juta - Anthony

Anthony (kiri) menunjukkan kabel yang dicuri di laluan Komuter utara yang berjaya dirampas pihak berkuasa.
Anthony (kiri) menunjukkan kabel yang dicuri di laluan Komuter utara yang berjaya dirampas pihak berkuasa.
A
A
A

ALOR SETAR – Masalah kecurian kabel isyarat dan komunikasi di laluan Komuter Utara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mencetuskan gangguan besar kepada perkhidmatan rel sepanjang tahun lalu, mengakibatkan kerugian RM1.35 juta dan gangguan selama 162 jam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menyatakan bahawa siri kecurian ini mencatatkan peningkatan mendadak sebanyak 414 peratus, daripada tujuh kes pada suku ketiga 2024 kepada 36 kes pada suku keempat tahun yang sama.

“Kecurian kabel menjadi isu yang semakin serius dengan purata 12 kes setiap bulan, hampir satu kes berlaku setiap dua hingga tiga hari.

"Setiap kecurian bukan sahaja menyebabkan gangguan isyarat dan komunikasi tetapi turut menyusahkan ribuan penumpang yang bergantung kepada perkhidmatan Komuter Utara,” katanya pada sidang akhbar pada Isnin.

Beliau berkata demikian semasa lawatan kerja ke Stesen Komuter Alor Setar, di sini.

Anthony (dua kanan) dan Adzli (tiga kiri) melihat peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel di laluan komuter utara.
Anthony (dua kanan) dan Adzli (tiga kiri) melihat peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel di laluan komuter utara.

Anthony Loke menegaskan bahawa isu ini tidak boleh dianggap sebagai jenayah kecil kerana ia juga membawa risiko besar terhadap keselamatan penumpang dan kargo.

Artikel Berkaitan:

Beliau mendedahkan bahawa kementerian telah mengenal pasti 20 lokasi panas di wilayah utara, dengan kawasan Sungai Petani ke Tasek Gelugor merekodkan jumlah kes tertinggi sebanyak 35, diikuti Gurun ke Sungai Petani dengan 21 kes sepanjang tahun lalu.

“Kecurian kabel tidak hanya menjejaskan kelancaran perkhidmatan tetapi juga membahayakan keselamatan awam. Kita perlu bertindak tegas untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Tambah beliau, bagi menangani isu ini, KTMB telah merancang 132 operasi khas, termasuk rondaan 24 jam di lokasi panas, dengan sokongan polis bantuan KTMB.

Menurutnya, Kementerian Pengangkutan turut bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan, terutama pihak polis, untuk membawa pelaku ke muka pengadilan.

"KTMB merancang menaik taraf rangkaian Axle Counter dan peralatan berkaitan dengan anggaran kos RM12.8 juta setiap tahun selama tiga tahun akan datang.

"Langkah ini melibatkan pemasangan sistem pemantauan yang lebih canggih seperti kamera CCTV, dron, pagar anti-panjat, serta penutup lubang dengan mekanisme keselamatan baharu," ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Adzli Abu Shah, mengesahkan bahawa pihaknya telah menahan lima suspek yang terlibat dalam kecurian kabel di kawasan Gurun dan Pendang.

Menurutnya, siasatan mendapati kabel yang dicuri dijual kepada pengusaha besi buruk untuk mendapatkan tembaga.

“Kejadian di kawasan terlibat telah dihentikan sementara berikutan penahanan suspek. Kami juga telah berinteraksi dengan pengusaha besi buruk di Kedah untuk mendidik mereka agar bertindak secara bertanggungjawab,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!