12 tren bernilai RM283 juta tingkat perkhidmatan komuter utara

Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyampaikan ucaptama pada majlis menandatangani perjanjian strategik bagi pengoperasian dan penyelenggaraan Perlis Inland Port (PIP) antara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Inland Port Perlis Sdn Bhd (IPPSB), anak syarikat Kumpulan Mutiara Perlis Sdn Bhd di sini pada Isnin. Foto Bernama
Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyampaikan ucaptama pada majlis menandatangani perjanjian strategik bagi pengoperasian dan penyelenggaraan Perlis Inland Port (PIP) antara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Inland Port Perlis Sdn Bhd (IPPSB), anak syarikat Kumpulan Mutiara Perlis Sdn Bhd di sini pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR – Perkhidmatan laluan Komuter Utara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dijangka bertambah baik dengan pembelian 12 unit tren elektrik baharu, selaras dengan usaha kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih cekap dan mesra pengguna.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perolehan ini merupakan langkah penting bagi menangani peningkatan jumlah penumpang di sektor utara, yang menyaksikan lonjakan sebanyak 29 peratus daripada 12,668 orang pada 2023 kepada 16,363 orang pada 2024.

Menurutnya, Kerajaan pada 20 Mac lalu telah mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) kepada CRRC Rolling Stock Center (Malaysia) Sdn Bhd melalui tender terbuka bagi perolehan 12 set tren Three Car Set (3CS) untuk perkhidmatan Komuter Utara.

“Kerajaan komited untuk memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan pengangkutan yang moden dan efisien.

"Dengan kos keseluruhan RM283 juta, 12 tren elektrik baharu ini akan merangkumi reka bentuk, pembinaan, penghantaran, pengujian, serta pentauliahan,” katanya pada sidang akhbar pada Isnin.

Beliau berkata demikian semasa lawatan rasmi ke Stesen Komuter Alor Setar, di sini.

Menurut Anthony, pembinaan tren 3CS ini akan dilakukan secara berfasa dalam tempoh 36 bulan, dan tren pertama dijangka diterima dalam tempoh 22 bulan.

Katanya, perkhidmatan ini dijangka mampu mengurangkan waktu menunggu dan menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih selesa serta moden.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, sebagai langkah jangka pendek, sebuah tren komuter enam gerabak telah ditempatkan semula dari Lembah Klang ke sektor utara.

"Tren ini menggantikan tren tiga gerabak sedia ada, sekaligus meningkatkan kapasiti penumpang setiap perjalanan daripada 450 kepada 1,100 orang.

"Tren tiga gerabak tersebut kini dijadikan tren simpanan untuk kegunaan kecemasan," ujarnya.

Tambah beliau, peningkatan jumlah penumpang KTM Komuter Utara menjadi bukti sambutan positif terhadap inisiatif-inisiatif terdahulu, termasuk pemanjangan laluan dari Butterworth ke Ipoh.

Jelasnya, langkah ini memperlihatkan permintaan tinggi terhadap perkhidmatan pengangkutan awam yang berkualiti, khususnya di kawasan utara.

“Penambahan tren ini bukan sahaja akan memenuhi keperluan pengguna, malah mengukuhkan KTM Komuter sebagai salah satu pilihan utama pengangkutan rakyat,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!