[VIDEO] Terdesak bayar hutang, anggota polis bantuan nekad merompak
SHAH ALAM - Gara-gara terdesak membayar hutang sebanyak RM20,000, seorang anggota polis bantuan nekad menggunakan senjata api ketika menyamun sebuah kedai emas di dalam sebuah pasar raya di Kota Damansara, Sabtu lalu.
Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi suspek apabila belum sempat menjual hasil emas yang disamun, suspek diberkas pada hari yang sama ketika dipercayai sedang bersiap untuk ke tempat kerja.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 4.56 petang.
"Suspek sebelum itu dilihat mundar-mandir di lokasi kejadian dipercayai membuat pemantauan sekitar tengah hari sebelum bertindak melakukan jenayah tersebut.
"Ketika kejadian, suspek mengambil masa kira-kira 10 minit melakukan rompakan. Bagaimanapun, suspek tidak melepaskan tembakan dan dipercayai hanya mencelah pistol yang dibawanya sebelum melarikan tujuh dulang emas serta wang tunai di kedai tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini pada Isnin.
Katanya, suspek berumur 32 tahun itu ditahan pada jam 10.15 malam di Bukit Beruntung, Hulu Selangor.
"Suspek diberkas oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
"Serbuan berjaya merampas wang tunai berjumlah RM1,800, pelbagai barang kemas, pakaian, peralatan dan kenderaan yang digunakan suspek ketika kejadian," katanya.
Hussein berkata, suspek dipercayai mengambil senjata api di tempat kerjanya sebelum melakukan rompakan tersebut.
"Selepas itu, suspek memulangkan semula senjata api ke tempat asal.
"Siasatan mendapati suspek mengetahui kata laluan untuk mengakses dan mengeluarkan senjata api berkenaan," katanya.
Tambahnya, siasatan mendapati suspek sudah berkahwin dan keluarganya menetap di Kelantan.

"Suspek bagaimanapun tinggal seorang diri dengan menyewa di Bukit Beruntung dan dipercayai telah berkhidmat sebagai anggota polis bantuan selama tujuh hingga lapan tahun.
"Siasatan mendapati suspek berkemungkinan cuba melarikan diri ke Kelantan, tetapi suspek berjaya ditangkap lebih awal sebelum bertindak sedemikian," katanya.
Ujar Hussein, pihaknya akan memanggil penyelia dan rakan sekerja suspek untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
"Siasatan mendapati hutang sebanyak RM20,000 menjadi alasan suspek melakukan rompakan itu.
"Suspek kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971," katanya.
Pada Sabtu, Pusat Kawalan Polis Daerah (DCC) IPD Petaling Jaya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian samun bersenjata api di kedai emas tersebut pada jam 4.56 petang.
Difahamkan, lelaki berkenaan yang memakai topeng muka serta baju berhud mengacukan pistol ke arah pekerja premis terbabit.
Semasa kejadian terdapat seorang pelanggan dan tiga pekerja di dalam premis.
Suspek telah melarikan tujuh dulang barang kemas di dalam rak pameran kedai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

