Polis Marin rampas mercun, bunga api RM1.2 juta

KLANG – Seorang lelaki diberkas, manakala mercun dan bunga api bernilai RM1.2 juta yang disimpan secara haram dirampas dalam serbuan polis di sebuah premis di Kampung Bukit Kuching, Jeram, di sini pada Khamis.
Pembongkaran itu dilakukan oleh Unit Risik Marin, Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang menerusi Op Taring Landai.
Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan.
"Anggota serbuan telah merampas 90 jenis mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai RM1.2 juta termasuk cukai.
"Seorang lelaki tempatan, dipercayai pemilik barang kes terbabit, telah ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan mercun dan bunga api tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, suspek dan semua barang rampasan telah dibawa ke PPM Pelabuhan Klang untuk siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Tambahnya, kes telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!