Penoreh terserempak beruang makan anai-anai di batang getah tumbang

GUA MUSANG - "Saya baru masuk kebun, tiba-tiba nampak beruang besar duduk dekat batang getah tumbang. Saya terus lari."
Demikian detik cemas yang dilalui seorang warga emas, To Bong Sing, 73, selepas terserempak dengan seekor beruang liar di kebun getahnya di Batu Lima, Chegar Bongor, di sini, minggu lalu.
Menurutnya, kejadian berlaku sekitar jam 7 pagi ketika dia bersiap untuk menoreh getah. Namun, sebaik tiba di kebun, dia terlihat beruang itu sedang leka memakan anai-anai pada batang getah yang tumbang.
"Saya nampak beruang itu duduk diam menghadap batang getah yang sudah reput.
"Rupa-rupanya, ia sedang makan anai-anai dalam kayu itu," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Tambahnya, perasaan takut mula menyelubunginya kerana ini bukan kali pertama dia terserempak dengan haiwan liar tersebut.
"Sebelum ini, saya sudah dua kali nampak beruang berkeliaran di kawasan kebun dan rumah.
"Tapi kali ini, beruang itu terlalu dekat. Saya tak berani tunggu lama, terus berpatah balik dan lari ke rumah," ujarnya.
Bong Sing yang sudah lama bergantung kepada hasil kebun getah berkata, kehadiran dua ekor beruang liar itu semakin merisaukan kerana haiwan terbabit bukan sahaja merosakkan pokok getah malah turut menjejaskan tanaman lain milik penduduk.
"Hasil getah saya banyak rosak sebab beruang ini. Ia datang mengganggu pokok dan makan apa sahaja yang dijumpai.
"Selain itu, tanaman lain seperti durian juga boleh terjejas jika haiwan ini tidak ditangkap segera," katanya.
Menurutnya, kejadian ini bukan sahaja membahayakan penoreh getah sepertinya tetapi juga penduduk lain, terutama kanak-kanak dan warga emas yang tinggal berhampiran kebun.
Bong Sing berkata, aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah dibuat pada Februari lalu, namun sehingga kini, masalah itu masih belum dapat diselesaikan.
"Kami sudah melaporkan kepada Perhilitan dua bulan lalu, tapi beruang masih belum berjaya ditangkap.
"Haiwan ini masih berkeliaran dan semakin berani.
"Penduduk takut untuk keluar rumah, sama ada pada waktu pagi mahupun petang," jelasnya.
Beliau berharap pihak berkuasa dapat bertindak segera sebelum beruang itu mencederakan sesiapa atau menyebabkan kejadian lebih buruk.
"Kami mohon pihak berwajib memasang perangkap atau melakukan pemantauan lebih kerap," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

