[VIDEO] Suami isteri ditahan pos dadah kepada pelanggan
IPOH - Helah sepasang suami isteri menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengedar cecair dadah jenis methamphetamin gagal apabila ditahan polis di kaunter peti mel sebuah stesen minyak di Taman Canning di sini, Khamis lalu.
Kedua-dua suspek berusia 30 dan 29 tahun yang bekerja sebagai jurujual itu menggunakan botol berpelekat minuman kesihatan untuk mengisi cecair dadah bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum menghantar bungkusan kepada pelanggannya.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah merampas enam botol plastik berisi cecair disyaki dadah sebelum dikirim.
"Hasil soal siasat dan dipandu arah oleh suspek, pasukan telah pergi ke rumahnya di Chemor dan menemui enam lagi botol cecair disyaki methamphetamin dengan anggaran isipadu 34.7 liter.
"Modus operandinya, pasangan suspek didapati membungkus sendiri cecair dadah berkenaan sebelum dipos apabila menemui peralatan membungkus dan merampas telefon bimbit," katanya dalam sidang akhbar di IPK Perak pada Isnin.

Menurut Noor Hisam, keseluruhan isipadu cecair dadah yang dirampas dianggarkan 37.3 liter bernilai RM1.19 juta.
"Ujian saringan air kencing mendapati wanita terbabit positif dadah jenis benzodiazepine manakala lelaki terbabit mempunyai rekod lampau dalam kes dadah.
"Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita sebuah kereta jenis Perodua Myvi dianggarkan bernilai RM40,000," katanya.
Tambah beliau, sindiket itu dipercayai mula aktif mengedar dadah sejak Jun tahun lalu dan disyaki untuk edaran pasaran tempatan dan luar negara.
"Suspek lelaki direman selama tujuh hari bermula 21 Mac sehingga 27 Mac ini manakala isterinya direman selama lima hari sehingga Selasa bagi membantu siasatan.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
