Sindiket dadah guna kurier: Pasangan suami isteri ditahan

KOTA KINABALU – Sepasang suami isteri ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sebuah syarikat kurier di Kampung Jawa Kongsi 10, Tawau, pada Sabtu lalu.
Dalam serbuan kira-kira jam 1.20 tengah hari itu, lelaki berusia 31 tahun dan isterinya, 38 tahun, ditahan bersama dadah seberat kira-kira 12.5 kilogram yang dianggarkan bernilai RM402,720.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, operasi itu dijalankan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah dan Strike Team Balai Polis Tawau bagi membanteras aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.
"Semasa pemantauan dilakukan, seorang suspek lelaki dilihat keluar dari kenderaan dan masuk ke dalam syarikat kurier tersebut sebelum mengangkat dua kotak yang mencurigakan.
"Suspek kemudian memasukkan kotak berkenaan ke dalam bonet kenderaan sebelum pasukan serbuan bertindak menahannya. Seorang wanita yang berada di tempat duduk pemandu turut ditahan," katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Sambutan Peringatan Hari Polis ke-218 di IPK Sabah, Selasa.
Menurut Jauteh, pemeriksaan lanjut mendapati kotak tersebut mengandungi lima kotak kecil serta lapan bungkusan plastik pelbagai saiz yang mengandungi bahan disyaki dadah dengan anggaran berat kasar 12,585.28 gram.
"Kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan hasil siasatan mendapati mereka bertindak sebagai 'transporter' bagi mengambil dadah sebelum menyerahkannya kepada pihak tertentu," katanya.
Jauteh turut mendedahkan bahawa sindiket pengedaran dadah di negeri ini masih menggunakan perkhidmatan syarikat kurier serta penghantaran udara bagi menyeludup bekalan ke daerah tertentu.
"Kita percaya dadah ini akan diserahkan kepada sindiket lain untuk diedarkan sama ada di dalam atau luar negara," katanya.
Mengulas mengenai penggunaan perkhidmatan kurier oleh sindiket dadah, Jauteh berkata pihaknya telah mengarahkan JSJN untuk meningkatkan kerjasama dengan agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan tersebut.
"Walaupun kerjasama sudah terjalin, kita akan memperkukuh usaha ini bukan sahaja dengan pihak perkhidmatan kurier tetapi juga Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana proses imbasan barang-barang dilakukan oleh mereka," katanya.
Sementara itu, Jauteh memaklumkan statistik kes narkotik bagi Januari dan Februari tahun ini menunjukkan penurunan jumlah tangkapan serta rampasan berbanding tahun lalu.
"Tahun lepas, jumlah rampasan dalam tempoh dua bulan pertama melebihi 70 kilogram, manakala tahun ini hanya sekitar 40 kilogram.
"Namun, bagi Mac, kita telah mencatatkan peningkatan ketara dalam rampasan dadah dengan dua operasi besar dilakukan di Penampang serta Tawau," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
