ABIM kecam AS, gesa Israel digantung sertai sukan antarabangsa

SHAH ALAM – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam keras tindakan Amerika Syarikat (AS) yang didakwa mewajarkan serangan berterusan Israel ke atas Gaza, yang kini telah meragut lebih 700 nyawa, kebanyakannya kanak-kanak.
ABIM menyifatkan tindakan ini sebagai satu perbuatan bersubahat dalam jenayah kemanusiaan serta bentuk sokongan terhadap genosid.
Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, dalam satu kenyataan media menegaskan bahawa justifikasi yang diberikan oleh AS terhadap serangan tidak berperikemanusiaan ini bercanggah dengan prinsip moral dan kemanusiaan sejagat.
Beliau turut menekankan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh negara kuasa besar itu seolah-olah mengabaikan bantahan masyarakat serta institusi antarabangsa terhadap kekejaman Israel.
Sehubungan itu, Ahmad Fahmi menegaskan bahawa ABIM menggesa masyarakat antarabangsa mempertingkatkan tekanan terhadap Israel dengan mengenakan sekatan dalam bidang sukan dan sosial.
Antara langkah yang dicadangkan ialah penggantungan pasukan serta atlet Israel daripada menyertai pertandingan sukan antarabangsa.
"Sebagai contoh, pasukan bola sepak Israel masih aktif dalam pertandingan kelayakan Piala Dunia Zon Eropah, walaupun kekejaman terhadap penduduk Gaza terus berlaku tanpa sebarang tindakan tegas daripada pihak berkuasa global," ujar Ahmad Fahmi.
Menurutnya, kempen mengetepikan penyertaan Israel dalam sukan dan aktiviti sosial antarabangsa adalah langkah penting bagi membuktikan komitmen komuniti global terhadap prinsip keadilan dan hak asasi manusia.
ABIM turut menyeru badan-badan sukan antarabangsa untuk mengambil tindakan segera dalam usaha menekan rejim Israel, sama seperti yang pernah dilakukan terhadap Afrika Selatan ketika era apartheid.
"Dengan keadaan di Gaza yang semakin meruncing, ABIM menegaskan bahawa dunia tidak boleh berdiam diri dan harus bertindak bagi menghentikan keganasan yang berterusan ke atas rakyat Palestin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

