Malaysia hilang berbilion ringgit kerana jenayah ekonomi

SHAH ALAM - Malaysia kerugian berbilion ringgit akibat jenayah ekonomi, iaitu perbuatan jenayah yang melanggar undang-undang melibatkan ganjaran kewangan dan aktiviti perniagaan haram.
Presiden Pertubuhan Integriti dan Tadbir Urus Malaysia (MIG), Datuk Seri Dr Akhbar Satar berkata, jika dibiarkan berterusan, ia berisiko melandaikan lengkuk pembangunan pertumbuhan ekonomi dengan lebih cepat.
Justeru katanya, iltizam politik dan penglibatan semua sektor harus dilakukan bagi membantu kerajaan menangani masalah berkenaan.
“Mengikut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Malaysia dianggarkan kerugian RM277 bilion akibat rasuah antara 2018 dan 2023, dengan purata kerugian tahunan RM55 bilion.
“Transparency International pula memaklumkan bahawa Malaysia berada di kedudukan ke-57 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024.
“Daripada segi ekonomi bawah tanah, negara kehilangan sejumlah besar hasil cukai 30.2 peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Akhbar, ekonomi bawah tanah yang juga dikenali sebagai ekonomi bayangan sering kali dikaitkan dengan aktiviti jenayah termasuk penyeludupan senjata dan tembakau, dadah, pelacuran, perjudian haram, pemalsuan pasport dan secara dalam talian serta penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
Bukan itu sahaja, ekonomi bawah tanah juga meliputi sektor formal yang tidak berdaftar dan pendapatan tidak diisytiharkan merangkumi perniagaan tidak berlesen, pekerja asing secara haram, pekerja sambilan dan ekonomi tunai.
Katanya, ini termasuk mereka yang mempunyai pekerjaan tetap tetapi pada masa yang sama melakukan pekerjaan sampingan yang menjana pendapatan yang lebih besar daripada pendapatan tetap.
“Pengubahan wang haram adalah proses menjadikan wang atau aset diperoleh daripada aktiviti haram dicuci kelihatan sah. Ia proses mencuci wang 'kotor' bagi menyembunyikan sumber asal wang berkenaan.
“Jika digabungkan kesemua angka ini, kita boleh menganggarkan jumlah kos ekonomi Malaysia untuk pengubahan wang haram juga sekitar 5 peratus atau RM55 bilion setahun,” jelas beliau.
Pada masa sama, beliau turut memuji Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin yang mengambil berat isu penyeludupan rokok haram dengan memperketatkan sistem dalaman termasuk pembelian mesin pengimbas yang moden serta tidak berkompromi terhadap segelintir pegawai kastam yang tidak ada integriti dan melibatkan diri dalam kegiatan rasuah.
Bahkan pada tahun 2024, beliau telah berjaya merekodkan kutipan hasil sebanyak RM65.57 bilion, iaitu lebihan RM9.57 bilion, bersamaan 117 peratus berbanding unjuran asal RM56 bilion.
“Wang yang tiris disebabkan rasuah dan kegiatan haram sewajarnya dapat digunakan untuk kesejahteraan dan pembangunan negara.
“Semakan dengan kementerian berkaitan mendapati RM1 bilion boleh membina 4 hospital daerah, 200 sekolah atau jalan empat lorong sepanjang 50 kilometer (km) atau 5,000 km jalan kampung,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!