Empat Klinik Desa terjejas akibat banjir di Johor - Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Program Pengedaran Bubur Lambuk dan Penyampaian Kecemasan Gaza di Econsave Shah Alam di Shah Alam pada Ahad.
Dr Dzulkefly (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Program Pengedaran Bubur Lambuk dan Penyampaian Kecemasan Gaza di Econsave Shah Alam di Shah Alam pada Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan empat Klinik Desa (KD) di Johor terjejas akibat banjir, bagaimanapun hanya satu masih belum beroperasi sepenuhnya.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tiga KD di Johor Bahru yang terkesan ialah Kangkar Tebrau, Maju Jaya dan Plentong, manakala satu lagi di Kota Tinggi, iaitu Batu Empat.

Menurut beliau, semua klinik itu sudah kembali beroperasi kecuali KD Kangkar Tebrau yang perkhidmatannya terpaksa dipindahkan sementara ke Klinik Kesihatan (KK) Majidee.

"Kita sedang meneliti langkah terbaik bagi memastikan perkhidmatan di KD Kangkar Tebrau dapat kembali seperti sediakala secepat mungkin.

"Buat masa ini, pesakit boleh mendapatkan rawatan di KK Majidee tanpa sebarang masalah," katanya ketika ditemui pada Program Pengedaran Bubur Lambuk dan Penyampaian Kecemasan Gaza di Econsave Puncak Alam di sini pada Ahad.

Econsave yang mempunyai sebanyak 103 cawangan di seluruh negara hingga kini telah menyalurkan hampir RM10 juta kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Humanitarian Care Malaysia (MyCare) menerusi kutipan tabung yang diletakkan di semua cawangan pasar rayanya.

Tabung Kecemasan Gaza yang dimulakan pada 27 Oktober 2024 hingga kini telah berjaya mengutip sebanyak RM2 juta sumbangan daripada rakyat Malaysia dan telah pun diserahkan kepada rakyat Gaza.

Mengulas mengenai keadaan kakitangan kesihatan di Johor akibat banjir, Dr Dzulkefly memberitahu, meskipun ada kakitangan yang turut terjejas, namun mereka tetap menjalankan tugas seperti biasa termasuk di pusat pemindahan sementara (PPS).

"Saya lihat ramai kakitangan tetap bertugas walaupun rumah mereka sendiri terjejas banjir.

Artikel Berkaitan:

"Ini menunjukkan dedikasi mereka dalam memastikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat tidak terganggu," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa sepanjang dua hari berada di Johor, beliau sempat meninjau beberapa fasiliti kesihatan, termasuk Hospital Sultan Ismail (HSI), Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Pasir Gudang, dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Johor Bahru.

"Saya dapati keadaan tidaklah begitu teruk dan semua fasiliti kesihatan yang terjejas sudah kembali beroperasi seperti biasa," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!