Kerap dengar rakan sekolah baca al-Quran jentik hati Hana

KOTA BHARU - "Selepas mengucap syahadah, saya mendapat ketenangan yang sukar diungkap, seperti terlepas semua beban yang digalas."
Demikian kata Hana Hyliaanah Jopius, 27, yang hampir dua tahun memeluk agama Islam dan kini tinggal bersama keluarga suami di Kampung Baung Bayam di sini.
Menurut anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah yang mesra dipanggil Hana, walaupun pada mulanya ada ahli keluarga yang menjauh, namun dia tetap nekad dan berusaha menjaga silaturahim.
"Ada yang mempersoalkan pegangan agama yang saya pilih tetapi saya berusaha memberi penerangan sehingga akhirnya diterima dengan baik," katanya ketika Majlis Penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri dan Berbuka Puasa Bersama Peserta Kursus Fardu Ain Mingguan Saudara Baharu 1446H/2025M.
Hana mengakui tertarik dengan Islam ketika Tahun 1, selepas sentiasa menemani rakan yang dipanggil Aisyah ke surau.
"Saya selalu datang awal ke sekolah dan ketika menemani Aisyah, saya kerap mendengar dia membaca al-Quran," katanya.
Bagaimanapun kata Hana lagi, agama Islam tidak asing baginya kerana beberapa ahli keluarga terdekat telah memeluk Islam sebelum ini.
Jelas Hana, sebagai Muslim dia menyimpan impian untuk melihat Kaabah dan menjalani ibadah umrah selain khatam al-Quran walaupun mungkin mengambil masa agak lama.
Justeru, Hana kini gigih menyertai kelas fardu ain anjuran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sekali seminggu dan sentiasa berdoa dimurahkan rezeki untuk ke Makkah.
Berkongsi pengalaman berpuasa di Kelantan, anak sulung daripada empat beradik itu memberitahu, tidak mengalami sebarang masalah kerana sudah biasa berlapar ketika menuntut di universiti.
"Bagi saya paling mencabar sebagai seorang Muslim ialah solat lima waktu dan bangun sahur namun mujur suami, Mohamad Ismail Nuh Yaacob, 26, dan keluarga mertua memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi untuk saya melaksanakan ibadah," katanya.
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Animasi (Kepujian) Produksi 2D Kolej Pengajian Seni Kreatif Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana itu memberitahu, Ramadan membawa pengertian bermakna kerana keluarga mentua banyak membantunya menyempurnakan ibadah puasa.
Hana yang sebelum ini merupakan penganut Kristian, mengambil keputusan berpindah dan bekerja di bandar ini selepas berkahwin pada Februari tahun lalu.
"Perjalanan untuk menjadi seorang Muslim sebenarnya sukar namun pada awalnya saya banyak berinteraksi bersama rakan-rakan yang sentiasa membantu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
