PGA rampas mercun, bunga api bernilai lebih RM200,000

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan tiga lelaki dan merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api disyaki tanpa permit bernilai lebih RM200,000 dalam serbuan Ops Taring Charlie di Temerloh dan Jerantut pada Khamis serta Jumaat lalu.

Briged Tenggara PGA dalam kenyataan melalui Facebook rasminya berkata, serbuan ke atas dua premis disyaki tempat penjualan mercun di Taman Kelisa Emas dan Perhentian Bas Inderapura, Jerantut dilakukan Batalion 7 PGA.

Menurutnya, hasil operasi dari jam 9.30 hingga 11 malam pada Jumaat itu, puluhan kotak berisi mercun dan bunga api ditemui disimpan dalam premis dan sebuah van.

"Pemeriksaan mendapati mercun dan bunga api itu tidak dinyatakan dalam permit yang ditunjukkan oleh penjaga premis.

"Tiga lelaki berusia 29 hingga 62 tahun ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Melalui kenyataan itu, Briged Tenggara PGA berkata, mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM 76,740 dirampas dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Jerantut untuk tindakan lanjut.

Sementara itu dalam serbuan berasingan di Mentakab, Temerloh pada hari sebelumnya, Briged Tenggara PGA berjaya merampas mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM130,000 hasil serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Saga, Mentakab.

Menurutnya, serbuan dilakukan kira-kira jam 5 petang itu membawa kepada penemuan berpuluh kotak mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api.

"Pemilik rumah didapati melanggar permit yang telah diberikan.

Artikel Berkaitan:

"Barang tersebut dirampas dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah IPD Temerloh untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!