Kastam rampas mercun, bunga api tanpa permit lebih RM360,000

BUTTERWORTH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya merampas 1,332 karton mercun dan bunga api bernilai RM360,767 dalam serbuan di sebuah gudang di Perai pada 11 Mac lalu.
Pengarah Kastam Negeri, Rohaizad Ali berkata, serbuan dilakukan oleh Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasaan dengan memeriksa tujuh kontena di dalam kawasan gudang tersebut.
Menurutnya, seorang lelaki berusia 60-an yang berada di lokasi turut ditahan bagi membantu siasatan.
"Hasil pemeriksaan mendapati 28,780 kilogram mercun dan bunga api pelbagai jenama telah disimpan tanpa permit sah.
"Semua mercun dan bunga api ini tidak mematuhi spesifikasi serta garis panduan yang ditetapkan dalam permit import (AP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya dalam sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal, Selasa.

Rohaizad memaklumkan bahawa rampasan ini melibatkan cukai taksiran sebanyak RM599,189.
Beliau turut mengingatkan bahawa mercun dan bunga api merupakan barangan larangan, yang hanya boleh diimport dengan lesen khas di bawah Butiran 46, Bahagian 1, Jadual Ketiga Perintah Larangan (Larangan Mengenai Import) 2023.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, yang membawa hukuman denda dan penjara jika disabitkan kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

