Lebih 500 permit jual bunga api, mercun diluluskan di Perak

IPOH - Polis Perak meluluskan 543 permohonan permit menjual bunga api dan mercun sempena sambutan Aidilfitri setakat 21 Mac lepas.
Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, 213 permohonan sedang dalam proses kelulusan, manakala 62 permohonan lagi tidak dapat diluluskan atas pelbagai faktor.
Terdahulu, pihaknya dilaporkan menerima 818 permohonan permit untuk menjual bunga api dan mercun di seluruh negeri berkenaan sehingga 14 Mac lepas.
Sementara itu, Zulkafli berkata, seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai penghantar makanan berusia 29 tahun ditangkap kerana didapati menjual mercun tanpa permit di tepi jalan tapak pasar malam Taman Kaya di Taiping pada 16 Mac lepas.
"Polis turut merampas 41 kotak dan lapan bungkus mercun serta bunga api dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM500. Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.
Zulkafli berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Peringatan Hari Polis ke-218 peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Dewan Serbaguna Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini hari ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
