Malaysia desak PBB bertindak hentikan genosid Israel

Penduduk Palestin meninggalkan Beit Lahia di utara Gaza yang turut menjadi sasaran bedilan ganas Zionis pada awal minggu lalu. - Foto: Agensi
Penduduk Palestin meninggalkan Beit Lahia di utara Gaza yang turut menjadi sasaran bedilan ganas Zionis pada awal minggu lalu. - Foto: Agensi
A
A
A

SHAH ALAM – Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa bertindak tegas terhadap Israel bagi menghentikan pertumpahan darah serta jenayah genosid yang sedang berlaku di Gaza.

Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, Israel perlu dipaksa untuk mematuhi undang-undang antarabangsa, menghormati resolusi PBB dan kembali ke meja rundingan.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaharu Israel ke atas Gaza, khususnya di Rafah, yang telah meragut lebih 600 nyawa rakyat Palestin dalam tempoh tiga hari.

“Pembunuhan beramai-ramai ini membuktikan keangkuhan rejim Zionis Israel yang terus mencabuli undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia, dan prinsip kemanusiaan sejagat,” menurut kenyataan itu.

Rakyat Palestin menunaikan solat jenazah mangsa serangan rejim Zionis di hadapan Hospital Indonesia, Beit Lahia. - Foto: Agensi
Rakyat Palestin menunaikan solat jenazah mangsa serangan rejim Zionis di hadapan Hospital Indonesia, Beit Lahia. - Foto: Agensi

Sejak konflik bermula pada Oktober 2023, lebih 49,000 nyawa terkorban, manakala 600 penduduk Gaza terbunuh dalam tempoh 72 jam terakhir akibat serangan udara Israel.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan jumlah mangsa cedera kini melebihi 1,000 orang, dengan kebanyakan hospital mengalami kekurangan bekalan ubat-ubatan dan tenaga elektrik.

Wisma Putra menegaskan bahawa serangan kejam Israel bukan sahaja memburukkan krisis kemanusiaan di Gaza, malah menghancurkan usaha diplomatik ke arah perdamaian.

“Ia sekali lagi menunjukkan niat jahat Israel untuk menghapuskan rakyat Palestin tanpa belas ihsan.

Artikel Berkaitan:

“Malaysia akan terus memperhebat usaha diplomatik melalui kerjasama dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab, dan rakan antarabangsa bagi menamatkan konflik ini,” ujar kenyataan itu.

Tambahnya, perjuangan tersebut bertujuan menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!