[VIDEO] Penduduk rayu penyelesaian segera banjir berulang di Kampung Pasir
JOHOR BAHRU – Penduduk sekitar Kampung Pasir dilanda keresahan apabila hujan berterusan selama dua hari menyebabkan banjir kilat yang merosakkan perabot, perkakas elektrik serta kenderaan mereka.
Tinjauan Sinar Harian pada Sabtu mendapati penduduk mengambil kesempatan cuaca cerah untuk membersihkan rumah masing-masing selepas beberapa hari ditenggelami air.
Seorang penghantar barang, Asyik Rahmat, 49, berkata, air naik mendadak hingga merosakkan perabot serta peralatan elektrik seperti peti sejuk dan televisyen.
“Banjir berlaku empat kali, kemudian surut sekejap, tetapi tengah malam naik semula hingga ke paras tingkap rumah. Peti sejuk, televisyen, dan kereta semua tenggelam.
“Sofa untuk persiapan raya pun rosak. Rumah baru dicat, tetapi semuanya musnah. Tilam pun tak boleh digunakan lagi, lebih membebankan kerana kejadian ini berlaku menjelang Aidilfitri,” katanya.

Menurutnya, masalah ini berpunca daripada sistem perparitan yang tidak berfungsi dengan baik serta kelewatan projek tebatan banjir yang telah diumumkan beberapa kali.
Seorang lagi penduduk, Besek Noor Ermita Bachok @ Ahmad berkata, banjir kali ini merupakan kali kedua berlaku sejak dia menetap di kawasan itu selama 20 tahun.
“Kejadian berlaku pada hari Rabu. Saya dan suami bekerja, anak seorang tinggal di rumah. Tiba-tiba air naik kerana hujan tidak berhenti selama dua hari.
“Masa itu, paras air sudah sampai pinggang saya. Saya terpaksa menimba air sehingga tengah malam kerana ia meresap ke dalam rumah,” katanya.
Malah dia juga tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana mahu menyelamatkan barang seperti almari dan peti sejuk yang akhirnya tetap rosak akibat terendam dalam air.
Sementara itu, Abdul Raauf Saadin, 34, yang bekerja di sektor swasta berkata, banjir turut mengganggu persiapan berbuka puasa keluarganya.

“Air mula masuk ke dapur dan bilik air sejak pagi dan berterusan hingga tengah hari. Sekitar pukul 10 malam, barulah air surut ke sungai belakang rumah.
“Kami tidak sempat memasak dan hanya berbuka dengan apa yang ada kerana tidak dapat ke bazar Ramadan akibat jalan sesak,” katanya.
Menurutnya, banjir kali ini memberi kesan besar kepada penduduk, lebih-lebih lagi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Kami berharap pihak berkuasa mengambil langkah segera dengan mempercepatkan projek tebatan banjir supaya kejadian ini tidak berulang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

