Rasuah percepat pemeriksaan kenderaan, seorang lagi ejen ditahan

Seorang lagi ejen pusat pemeriksaan kenderaan ditahan SPRM dan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Sabtu kerana dipercayai menerima rasuah bagi mendapatkan nombor giliran untuk mempercepatkan proses pemeriksaan kenderaan tanpa mengikuti peraturan sah.
Seorang lagi ejen pusat pemeriksaan kenderaan ditahan SPRM dan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Sabtu kerana dipercayai menerima rasuah bagi mendapatkan nombor giliran untuk mempercepatkan proses pemeriksaan kenderaan tanpa mengikuti peraturan sah.
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang lagi ejen pusat pemeriksaan kenderaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai menerima rasuah bagi mempercepatkan proses pemeriksaan kenderaan tanpa mengikut prosedur sah.

Menurut sumber, suspek dipercayai menerima rasuah kira-kira RM40,000 daripada pemilik kenderaan yang ingin mendapatkan nombor giliran bagi pemeriksaan di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan.

“Tangkapan terhadap suspek adalah susulan operasi yang dijalankan SPRM dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sebelum ini.

“Suspek ditahan kira-kira jam 4 petang pada Jumaat ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya,” katanya pada Sabtu.

Sumber berkata, maklumat daripada Bahagian Penguatkuasaan JPJ mendapati beberapa individu menyalahgunakan sistem tempahan pemeriksaan Puspakom dengan membuat tempahan secara pukal menggunakan nombor kenderaan rawak.

Modus operandi mereka adalah menawarkan tarikh tempahan yang telah dibuat kepada pelanggan dengan bayaran ratusan ringgit bagi setiap slot pemeriksaan.

“Selepas itu, suspek akan membuat penjadualan semula tarikh bagi membolehkan permohonan baharu dibuat dalam sistem,” tambahnya.

Sinar Harian difahamkan bahawa suspek lelaki berusia lingkungan 30-an telah dikenakan perintah reman selama empat hari sehingga Selasa.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Assayidatun Najwa Muhammad Nasution, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!