Hiasan lampu gamit nostalgia sambutan Aidilfitri

Penduduk di Jalan Sangkar 19/7 dan 7B, Seksyen 19 bergotong-royong menyiapkan hiasan lampu Aidilfitri. Gambar kecil: Noorazman
Penduduk di Jalan Sangkar 19/7 dan 7B, Seksyen 19 bergotong-royong menyiapkan hiasan lampu Aidilfitri. Gambar kecil: Noorazman
A
A
A

SHAH ALAM - Setiap kali tibanya musim perayaan Aidilfitri, kebanyakan tempat akan mula dipenuhi dengan hiasan lampu berwarna-warni yang pastinya menjadi tumpuan masyarakat sekitar.

Begitu juga dengan penduduk di Jalan Sangkar 19/7 dan 7B, Seksyen 19 di sini yang turut tidak melepaskan peluang menghiasi persimpangan kawasan berkenaan dengan cahaya lampu lip lap bagi menggamit nostalgia sambutan perayaan tersebut.

Wakil gerak kerjanya, Noorazman Shamsuddin, 42, berkata, inisiatif yang pertama kali dilakukan penduduk setempat itu bertujuan mencantikkan kawasan berkenaan.

Penduduk di Jalan Sangkar 19/7 dan 7B, Seksyen 19 bergotong-royong menyiapkan hiasan lampu Aidilfitri.
Penduduk di Jalan Sangkar 19/7 dan 7B, Seksyen 19 bergotong-royong menyiapkan hiasan lampu Aidilfitri.

"Selain itu, hiasan lampu raya ini juga melambangkan semangat gotong-royong dalam kalangan penduduk yang sebenarnya masih kuat kerana semua ini dilakukan sendiri secara gotong-royong tanpa bantuan daripada mana-mana pihak atau agensi.

"Malah, kami memperuntukkan sekitar RM1,300 yang merupakan sumbangan peribadi penduduk sendiri dan mengambil masa sekitar tiga minggu untuk menyiapkan hiasan lampu ini.

"Malam tadi (Jumaat) kami sudah siap memasang dan mencubanya. Jadi, malam ini (Sabtu) pertama kali akan dibuka hiasan lampu berkenaan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Tambah Noorazman, pihaknya menerima maklum balas positif daripada orang ramai yang melalui kawasan berkenaan meskipun hiasan lampu tersebut masih belum dibuka sepenuhnya.

"Alhamdulillah, malam tadi ramai yang melalui jalan ini memberi respons positif. Mereka membunyikan hon dan tidak kurang juga yang memuji kecantikannya," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Noorazman berkata, selain inisiatif hiasan lampu, dia bersama penduduk juga akan memasak dan mengagihkan sekitar 600 pek bubur lambuk kepada komuniti setempat pada Ahad.

Ujarnya, aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk itu dijangka bermula pada jam 8.30 pagi dan kemudian diagihkan kepada orang ramai seawal jam 5 petang di persimpangan jalan berkenaan.

"Esok, sekitar 20 hingga 25 petugas akan mula memasak dua periuk bubur lambuk dengan anggaran 600 pek yang akan diagihkan kepada penduduk di Lorong 19/7 dan 7B. Kami juga akan mengedarkannya kepada surau serta orang ramai di persimpangan jalan besar.

"Ini juga merupakan inisiatif pertama kali yang dilakukan penduduk dengan jumlah peruntukan peribadi oleh penduduk setempat hampir RM1,500," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!